Cuti hari raya bagi 206 anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibekukan bagi memberi tumpuan 24 jam kepada Ops Sikap JPJ Terengganu ke-22 (XXII) dan Ops Sakratul Maut.
Ops Sikap XXII sempena hari raya akan berlangsung pada 4 hingga 19 September 2010, manakala rondaan di laluan sakaratul maut sudah bermula 27 Ogos lalu sehingga 29 September depan.
Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahaman Emang Anyie berkata, operasi hanya dihentikan pada hari raya pertama dan kedua sahaja iaitu bermula jam 12.01 pagi pada 10 September hingga jam 12 malam pada 11 September ini.
“Bagaimanapun, bilik kawasan di ibu pejabat masih beroperasi selama 24 jam pada kedua-dua hari tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mesyuarat Bangunan JPJ, kelmarin.
Abdul Rahaman berkata, operasi musim perayaan akan memberi tumpuan terhadap pengangkutan awam seperti teksi dan bas ekspres dengan menjalankan pemeriksaan di depot serta bengkel sebelum musim perayaan.
Menurutnya, JPJ akan menempatkan anggota penguat kuasanya di 36 terminal bas dan teksi di semua negeri apabila tiba operasi musim perayaan dengan menjalankan pemeriksaan terhadap buku log, pemandu kedua, tayar, brek, lesen memandu, cukai jalan serta permit.
Manakala, penguatkuasaan di jalan raya yang kerap berlaku kemalangan atau jalan sakaratul maut akan memberi tumpuan kepada tiga jalan utama membabitkan Jalan Kuala Terengganu-Ajil-Jerangau-Bukit Besi, Jalan Kuala Terengganu-Marang-Dungun dan Jalan Kuala Terengganu-Sungai Tong dan Kuala Berang.
Katanya, sebanyak 17 kes kemalangan dengan tujuh terkorban melibatkan pelbagai jenis kenderaan berlaku di kawasan terbabit sejak 6 Julai hingga 31 Ogos lalu.
Sepanjang operasi, pihaknya akan mengeluarkan saman serta-merta kepada pengguna jalan raya yang dikenal pasti melakukan kesalahan lalu lintas.
Pada masa sama, JPJ akan melakukan penyamaran di kawasan yang dikenal pasti pada jam 9 pagi hingga 7 petang dengan merakam serta mencatat kesalahan pengguna jalan raya.
“Bagi penyamaran, kita akan menurunkan empat kumpulan di seluruh negeri ini dan sekiranya pihak tertentu dikesan melanggar peraturan, kita akan catat dan rakam sebelum menghantar notis kepada mereka,” katanya.
Selain itu, larangan kepada penggunaan kenderaan barangan akan diselaraskan di seluruh negara, kecuali Sabah dan Sarawak, iaitu pada 8, 9 September dan 18 serta 19 September ini.
No comments:
Post a Comment