Monday, September 6, 2010

Dana Hari Raya, Zakat Untuk Warga Kijal, Kemaman

MB menyampaikan zakat kepada warga emas di kediamannya 29 Ogos 2010.

Pagi ini dan esok, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Nurliza Mahmud akan meneruskan program membahagikan Dana Hari Raya DUN Kijal.

Program hari ini membabitkan tiga majlis iaitu di Dewan Sivik Kijal, Dewan Ketengah Seri Bandi, dan di Sekolah Kebangsaan Padang Kubu.

Sementara dua majlis akan dilangsungkan esok iaitu di Dewan Sivik Kijal dan Dewan Sivik Bukit Kuang.

Toh Puan Seri Nurliza turut menyampaikan zakat.

Sebelum ini, Menteri Besar turut mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan Pembahagian Zakat di kediamannya – Seri MB di Teluk Kalong - pada 29 Ogos 2010 lalu.

Majlis berbuka puasa yang dihadiri lebih 6,000 rakyat seluruh Kemaman adalah acara tahunan Menteri Besar.

Majlis yang dianjurkan Pejabat Daerah Kemaman dengan kerjasama Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) serta Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu.

Dalam ucapannya Ahmad Said meminta rakyat Kemaman menginsafi kemuliaan Ramadan yang dapat menyatukan orang Islam miskin dan kaya untuk sama-sama beribadah dan menyambut kedatangan Aidilfitri.

“Dengan rezeki yang diberikan Allah kepada negeri Terengganu, golongan miskin, orang tua serta anak-anak yatim boleh dibantu bagi menringankan beban mereka.

“Kerajaan negeri akan berusaha mempelbagaikan usaha agar hasil negeri bertambah dan rakyat akan menikmati pelbagai kemudahan seperti bantuan untuk pelajar, remaja, orang tua, ibu tunggal serta juga anak-anak yatim,” katanya.

Dengan rancangan membuka semula lombong besi di Bukit Besi, wang royalti yang akan dikembalikan serta usaha mempergiatkan sektor pertanian, rakyat Terengganu akan dibela dan kerajaan Barisan Nasional akan memberikan keutamaan kepada golongan miskin dan kurang upaya.

Pada majlis itu, Menteri Besar dan Isteri membahagi-bahagikan zakat kepada orang tua dan warga miskin di Kemaman.

Menunggu dipanggil untuk menerima zakat.

Selain wang tunai, penerima juga dihadiahkan beras dan hamper.

Pada majlis itu, sijil-sijil turut disampaikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung seluruh Kemaman.

Turut hadir dan menyampaikan zakat ialah Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Kamil Othman, Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Ramli Shahul Hameed serta Pengarah APMT, Roshali Taha.

Selepas menunaikan solat Isyak dan Tarawikh di Masjid Telok Kalong, Menteri Besar dan isteri menikmati jamuan sup tulang di salah sebuah rumah penduduk berhampiran Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong.

No comments:

Post a Comment