Tuesday, September 7, 2010

Piala Malaysia: Terengganu Tidak Pandang Sepi Pasukan Lain

Walaupun berada dalam keadaan selesa dalam kumpulan B Liga Piala Malaysia, namun Terengganu yang merupakan bekas juara pada 2001, tidak memandang rendah keupayaan pasukan-pasukan lain dalam kumpulan itu.

Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh berkata Terengganu akan membuka kempen kejohanan itu dengan menentang Pahang di Kuala Terengganu 14 September ini.

"Pahang pasukan hebat, kita perlu awasi dan tidak boleh pandang ringan pasukan Tok Gajah itu," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Che Mat berkata sebuah lagi pasukan dalam kumpulan itu yang perlu diberikan perhatian ialah Sabah kerana Terengganu tidak pernah menguji pasukan itu dalam tahun ini.

Terengganu dijadual menentang Sabah di Stadium Likas pada 17 September dan diikuti pertemuan dengan pasukan Kuala Lumpur di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada 20 Sept, katanya.

Che Mat berkata Kuala Lumpur merupakan pasukan sedang meningkat naik dan perlu dikawal walaupun sejarah pertemuan sebelum ini lebih menyebelahi pasukan Terengganu.

Beliau berkata walau apapun, Terengganu tetap akan menurunkan kesebelasan utama yang diketuai bekas pemain kebangsaan Marzuki Yusof dan Tengku Azman Raja Hasbullah.

"Semangat pemain-pemain Terengganu sekarang begitu tinggi dan bersiap sedia untuk menghadapi kejohanan berprestij itu," katanya.

Che Mat berkata pasukan terengganu yang dibimbing jurulatih Irfan Bakti itu, mensasarkan untuk memasuki sekurang-kurangnya sehingga ke peringkat akhir bagi musim ini.

Katanya pasukan Terengganu mendapat suntikan sebanyak RM3 juta daripada kerajaan negeri untuk menghadapi Liga Malaysia tahun ini.

No comments:

Post a Comment