Tuesday, September 7, 2010

Dua Produk Bank Islam Dapat Sambutan

Dua produk Bank Islam Malaysia Berhad, akaun simpanan Al-Awfar dan pinjaman perumahan "Payment Holiday", mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat bukan Islam.

Pengarah Urusan Bank Islam Datuk Seri Zukri Samat berkata produk Al-Awfar yang dilancarkan tahun lepas, mendapat sambutan paling hangat daripada orang ramai.

"Al-Awfar merupakan produk deposit pelaburan Bank Islam. Melalui akaun Al-Awfar, pelabur berpeluang memenangi hadiah utama cabutan bernilai RM100,000," katanya kepada pemberita semasa lawatan ke rumah yang dibina oleh Bank Islam untuk keluarga miskin menerusi program tanggungjawab korporat Bank Islam, di sini.

Beliau berkata pelabur yang membuka akaun Al-Awfar perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM300 dalam akaun bagi melayakkan diri untuk cabutan bertuah yang lakukan tiga bulan sekali.

"Selain hadiah utama, kita juga menyediakan hadiah lain seperti wang tunai RM5,000, RM1,000, telefon bimbit, televisyen dan peranti elekronik lain.

Zukri berkata produk "Payment Holiday" juga mendapat permintaan tinggi sejak diperkenalkan dua tahun lepas.

"Selalunya, jika kita membuat pinjaman di bank-bank, kita akan membuat pembayaran setiap bulan. Ini bermakna peminjam perlu membayar pinjaman 12 bulan dalam setahun.

"Tetapi di Bank Islam, kita memberi kelonggaran kepada peminjam untuk membuat pembayaran balik 10 kali dalam setahun. Mereka (peminjam) boleh menggunakan duit pinjaman pada bulan November dan Disember untuk kegunaan peribadi, termasuk bercuti," katanya.

Beliau berkata bagi membolehkan peminjam menggunakan "Payment Holiday", mereka perlu memaklumkan kepada pihak pengurusan Bank Islam.

Pada majlis itu, Zukri berkata tiga keluarga miskin di Pokok Sena dan Kuala Nerang, menerima rumah baharu masing-masing.

"Bank Islam memperuntukkan RM1 juta untuk membina dan membaik pulih kira-kira 50 buah rumah di seluruh Kedah, dengan setiap sebuah bernilai kira-kira RM30,000," katanya.

"Kedah merupakan negeri ketiga yang menerima peruntukan itu selepas Kelantan pada tahun 2008 dan Terengganu pada tahun 2009," katanya.

Selain itu, seramai 150 golongan asnaf menerima wang zakat daripada Bank Islam sebanyak RM200 setiap seorang.

No comments:

Post a Comment