Mohd. Hariff Salleh (kiri) memenangi perlumbaan peringkat ketujuh dari Nyah West ke Manangatang sejauh 56.9 kilometer basikal Jelajah Murray River, semalam.
Kekecewaan setelah gagal menyerlah pada peringkat keempat dan kelima Jelajah Murray River berjaya diubati oleh pelumba negara, Mohd. Hariff Salleh dengan memenangi peringkat ketujuh dari Nyah West ke Manangatang di Australia, sejauh 56.9 kilometer, semalam.
Pelumba kelahiran Terengganu itu juga cemerlang pada perlumbaan peringkat keenam, yang berlangsung di sebelah pagi semalam, apabila menduduki tempat kedua di belakang Joel Pearson daripada pasukan Genesys Wealth Advisers.
Menurutnya, kejayaan itu setidak-tidaknya menutup kekecewaan gagal meraih keputusan cemerlang kelmarin, kerana dia kurang sihat dan tidak mampu untuk memberi tentangan kepada pelumba lain.
"Hari ini memang berbeza daripada semalam (kelmarin) saya kembali sihat dan boleh memberi fokus sepenuhnya dalam perlumbaan sehingga meraih tempat kedua di perlumbaan sebelah pagi, lebih manis, sekali saya meraih kejayaan muncul juara pada perlumbaan sebelah petang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Jelasnya, prestasinya kembali memuncak ditambah dengan bantuan rakan-rakan yang tidak putus-putus membantunya untuk berada di kelompok depan dalam saingan sirkit ketiga siri Perlumbaan Kebangsaan Australia (Piala Scoody).
"Saya berada pada kedudukan lima terbaik keseluruhan ketika ini, saya berasa amat gembira dan cuba sebaik mungkin mengekalkan prestasi ini sehingga tamat saingan, saya berharap keadaan cuaca akan terus baik seperti hari ini.
"Siapa yang tidak gembira dapat meraih kejuaraan buat kali kedua dalam sirkit ini, malah jurulatih William Walker juga turut bersama-sama berkongsi kegembiraan ini, selepas kami sepasukan berjaya membuktikan pelumba Malaysia mampu memberi saingan kepada pelumba handalan lain," katanya
Sebelum ini Hariff juara peringkat kedua Isnin lalu, manakala pada peringkat pertama, dia mendapat tempat ketiga.
Namun, pada peringkat ketiga (Selasa) dia sekadar menduduki tempat ketujuh, sebelum prestasinya agak menurun pada peringkat keempat dengan menduduki tempat ke-31 dan bangkit semula di peringkat kelima kelmarin.
"Saya tidak membuat sebarang sasaran pada perlumbaan kelapan dan kesembilan esok (hari ini) semuanya bergantung kepada keadaan perlumbaan," katanya.
Selain Hariff, skuad kebangsaan diperkuatkan dengan pelumba lain, Amir Mustafa Rusli (ketua pasukan), Shahrul Mat Amin, Ahmad Fallanie Ali, Fakhrulllah Alias dan Yusrizal Usoff.
No comments:
Post a Comment