Wednesday, September 15, 2010

Jelajah Tasmania Ujian Terakhir Sebelum Sukan Komanwel - Harrif

Prestasi cemerlang di Jelajah River Murray minggu lepas terus membangkitkan semangat pelumba basikal negara, Mohd. Harrif Salleh menjelang Jelajah Tasmania yang bermula esok hingga 21 September ini.

Pelumba kelahiran Terengganu itu, mengakui sirkit keempat siri Perlumbaan Kebangsaan Australia (Piala Scoody) bukan mudah berikutan laluan berbukit, namun jauh di sudut hatinya dia mahu beraksi cemerlang setidak-tidaknya menyelitkan diri di kelompok tengah keseluruhan.

Menurutnya, Jelajah Tasmania adalah ujian terakhir buatnya untuk mempersiapkan diri menjelang Sukan Komanwel yang bermula pada 3-14 Oktober di New Delhi, oleh itu dia berharap dapat mengekalkan prestasi dan mengelakkan diri daripada sebarang kecederaan.

"Laluan Jelajah Tasmania ini agak sukar kerana banyak zon pendakian, sedangkan saya adalah pakar pecut, namun saya tidak boleh menyerah kalah terlalu awal. Saya mahu jadikan perlumbaan ini sebagai persiapan terakhir ke Sukan Komanwel nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, Jelajah Tasmania bukan saja dihidangkan dengan laluan yang berbukit, malah cuaca berangin dan hujan juga bakal menguji keupayaan skuad kebangsaan dan juga pasukan lain.

"Ini juga adalah peluang terbaik saya memperbaiki kayuhan terutama di peringkat pendakian. Saya sudah membuktikan kemampuan berlumba baik di laluan landai,'' katanya lagi, yang turut mendapat khabar gembira daripada pelumba senior, Suhardi Hassan mengenai laluan di New Delhi baru-baru ini.

Suhardi menghubungi Harrif untuk memberitahu peluangnya untuk melakar kejutan di New Delhi cerah berikutan laluan di New Delhi kebanyakannya landai dan tidak banyak zon pendakian.

No comments:

Post a Comment