Kolej Universiti TATi (TATiUC) di Kemaman yang sedang dalam proses untuk muncul sebagai sebuah universiti kemahiran menjelang 2015, melakar satu lagi sejarah baru dalam rentetan perkembangannya dengan menerima kemasukan penuntut paling ramai tahun ini.
Bagi sesi kemasukan 2010-2011 Julai lalu, institusi pengajian tinggi swasta milik penuh kerajaan negeri itu mengambil 715 penuntut dari seluruh negara, berbanding hanya kira-kira 400 orang pada tahun lalu.
Penampungan jumlah penuntut teramai sejak 17 tahun lalu itu menunjukkan keyakinan umum terhadap sistem pengajian di samping lulusannya dalam pasaran kerjaya makin mengukuh.
Rektornya, Dr. Mohd Rozailan Mamat memberitahu, ia suatu perkembangan yang amat memberangsangkan dengan memperlihatkan institusi itu berada dalam landasan tepat.
''Dengan sistem pembelajaran yang menekankan kemahiran sehingga 70 peratus yang diterapkan dalam setiap program, ia mampu melahirkan modal insan terlatih.
''Ini selaras dengan teras ketiga dan keempat dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini iaitu menuju ke arah pembangunan sosioekonomi secara inklusif, selain membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia.
''Begitu juga kemahiran yang tinggi di kalangan pekerja di peringkat diploma dan ijazah adalah perlu untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi, demi untuk kesejahteraan rakyat," katanya di sini baru-baru ini.
TATiUC yang dahulunya dikenali sebagai Institut Kemahiran Tinggi Terengganu merupakan institusi pengajian tinggi swasta pertama milik kerajaan negeri.
Institusi pendidikan itu mengalami transformasi seiring dengan hasrat negara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan membekalkan guna tenaga dalam sektor yang amat diperlukan.
Sejak dinaikkan taraf tiga tahun lalu bermula dengan penawaran program peringkat Ijazah Teknologi pada Julai 2008, iaitu Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan, ia kini menyediakan tujuh program ijazah pertama di bidang teknologi.
Sebagai persiapan ke arah mencapai sasaran sebagai sebuah universiti kemahiran, pelbagai prasarana dirancang termasuk sebahagiannya telah dimulakan.
Beliau memberitahu, ini termasuk cadangan penubuhan sebuah kompleks sukan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi kegiatan dalaman dan luar.
''Di samping itu sebuah dewan konvokesyen dan pembesaran perpustakaan sedang dijalankan yang dijangka siap pada tahun depan.
''Segala perancangan bagi pengukuhan akademik dan penyediaan prasarana serta suasana lebih kondusif telah dilakukan yang mampu merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menaik taraf TATiUC," ujarnya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment