Sebilangan besar rakyat negara ini menaruh harapan tinggi kepada masa depan Malaysia menuju Wawasan 2020 berdasarkan usaha yang dilaksanakan kerajaan sekarang dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan, memelihara keamanan, meningkatkan ekonomi dan memperkenalkan idea 1Malaysia setelah 53 tahun mencapai kemerdekaan.
Seramai 86 peratus daripada responden yang ditemu bual berpandangan apa yang dilakukan kerajaan sekarang adalah baik untuk masa depan negara, manakala 14 peratus lagi menyatakan sebaliknya. Peratusan yang tinggi ini menunjukkan rakyat Malaysia masih lagi yakin bahawa negara mampu merealisasikan Wawasan 2020.
Demikian menurut satu Kajian Isu Semasa diketuai Azrul Hisyam Wakichan dan diselia oleh Prof. Datuk Seri Syed Arabi Idid, Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Kulliyyah Ilmu Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini.
Seramai dua orang pembantu, 14 orang penyelia negeri dan 134 orang penemu bual juga terlibat dalam mengendalikan kajian ini.
Kajian menunjukkan, ramai rakyat menaruh harapan tinggi terhadap kerajaan mengenai masa depan keluarga masing-masing Sebanyak 90 peratus menyatakan masa depan keluarga mereka adalah baik dan 10 peratus lagi menyatakan sebaliknya.
Tidak seorang pun responden menyatakan masa depan mereka akan kekal seperti sekarang.
Kajian ini dilakukan dari 1 hingga 18 Ogos 2010 di seluruh negara untuk mengetahui pandangan responden yang berumur 21 tahun ke atas berkenaan dengan isu semasa.
Seramai 1,367 responden dari pelbagai kaum iaitu Melayu/Bumiputera, Cina, India dan lain-lain di seluruh negara ditemubual bagi mewakili pendapat umum di seluruh Malaysia.
Kaedah yang digunakan dalam kajian ini ialah persampelan dengan memilih sebahagian kecil dari penduduk mewakili seluruh penduduk di sesuatu kawasan.
Kaedah yang digunakan ialah temu bual bersemuka dengan responden. Responden juga dikemukakan dengan satu set soal selidik untuk dijawab dalam masa lebih kurang 25 hingga 45 minit.
Jumlah responden ditentukan mengikut kepada kelompok daerah dan ditetapkan mengikut kepada kepadatan penduduk, komposisi kaum, lokasi, kategori umur dan juga jantina.
Sebanyak 29 kawasan di seluruh negara telah dipilih sebagai kawasan kajian. Antaranya ialah di Indera Kayangan (Perlis), Belantik (Kedah), Seberang Jaya (Pulau Pinang), Jelapang (Perak), Ijok (Selangor), Wangsa Maju (Kuala Lumpur), Paroi (Negeri Sembilan), Bandar Hilir (Melaka), Skudai (Johor), Batu Talam (Pahang), Rhu Rendang (Terengganu), Kota Lama (Kelantan), Petrajaya (Sarawak), Likas (Sabah) dan lain-lain.
Selain daripada itu, responden juga ditanya mengenai pencapaian utama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Soalan yang ditanya adalah soalan terbuka di mana responden boleh memberikan pendapat mereka secara terus.
Pada keseluruhannya mereka berpendapat bahawa Konsep "1Malaysia" merupakan pencapaiaan utama Perdana Menteri.
Kajian ini juga menunjukkan hasil Pencapaian 53 Tahun Malaysia Merdeka, iaitu 41 peratus dalam bidang pembangunan/infrastruktur, 20 peratus negara terkenal di mata dunia, 14 peratus tingkatkan ekonomi, 11 mengawal keselamatan/keamanan, 5 peratus sukan, 4 peratus tingkatkan taraf hidup rakyat, 3 peratus lahirkan angkasawan negara dan 10 peratus bagi lain-lain.
Sebilagan besar rakyat Malaysia bersetuju dengan idea 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib. Sebanyak 53 peratus daripada rakyat menyatakan bersetuju, 22 peratus lagi menyatakan amat bersetuju. Manakala 16 peratus tidak bersetuju dan 4 peratus menyatakan amat tidak bersetuju. Sementara 5 peratus lagi tidak memberi sebarang respon.
Kajian juga menunjukkan 46 peratus mereka memahami tentang maksud perpaduan dalam Konsep 1Malaysia, 18 peratus maksud didahulukan, 9 peratus adil/sama rata, 9 peratus bersepakat/tolong menolong, 9 peratus tidak jelas dan 6 peratus lain-lain. Hanya 3 peratus yang tidak tahu tentang 1 Malaysia.
Kesimpulannya konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib adalah kesinambungan kepada konsep pentadbiran yang dilakukan oleh semua perdana menteri sebelum ini dengan pendekatan berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama iaitu ke arah mencapai perpaduan dan kemajuan negara.
Di samping itu, rakyat juga merasakan Malaysia kini berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai impian Wawasan 2020 yang bertujuan menjadi sebuah negara perindustrian dan maju bukan sahaja dalam bidang ekonomi, tetapi bidang politik, sosial, kerohanian, psikologi dan perpaduan nasional pada tahun 2020 nanti.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment