Saturday, September 11, 2010

Piala Monsun Jadi Ikutan Korea Selatan

Torvar Mirsky bergelut dalam sesi latihan di Bornholm, Denmark, kelmarin.Nilai pasaran kini cecah RM538 juta; Korea Selatan medan terbaru saingan.

Berita Harian

Kejayaan Piala Monsun di Kuala Terengganu mencipta dimensi baru dalam penganjuran perlumbaan kapal layar match racing dengan ia menjadi contoh kepada acara-acara baru dalam Jelajah Match Racing Dunia (WMRT).

Dengan nilai pasaran difahamkan mencapai RM538 juta, 26 kali daripada pelaburan awal, Piala Monsun menjadi model yang menjadi ikutan penganjur di Korea Selatan, antara gelanggang perlumbaan yang diperkenalkan tahun ini.

Perkara ini didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif WMRT, Jim O’ Toole yang memiliki cita-cita besar meluaskan sukan match racing ke pasaran baru di seluruh dunia.


“Piala Monsun kini menjadi contoh kepada penganjuran acara baru di seluruh dunia. Kami mahu setiap acara baru untuk mencontohi Piala Monsun.

“Acara baru di Korea meniru (segala aspek) Piala Monsun. Perkara paling positif mengenai Piala Monsun adalah ia menerima sokongan daripada kerajaan.

“Ia juga bukan hanya mengenai penganjuran Piala Monsun tetapi acara sampingan seperti Kejohanan (Match Racing) Asia seminggu sebelumnya dan kelayakan Malaysia. Ia juga boleh meningkatkan pembangunan sukan, pelancongan dan ekonomi,” katanya ditemui di Bornholm, pada hari pertama perlumbaan Terbuka Denmark yang dilangsungkan di Lautan Baltik, semalam.

O'Toole menyertai keluarga WMRT dua bulan lalu dengan warga Ireland berusia 50 tahun itu sebelum ini berkhidmat dengan entiti sukan terbesar dunia, antaranya Manchester United dan Formula Satu, menyifatkan Piala Monsun sebagai meningkatkan jumlah tontonan global menerusi teknologi penyiaran terbaru yang diperkenalkan.

No comments:

Post a Comment