Saturday, September 4, 2010

KKLW Salurkan Input Model Baru Ekonomi Luar Bandar

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sedang menyalurkan input penting kepada Perdana Menteri bagi penyediaan kerangka Model Baru Ekonomi Luar Bandar untuk meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar agar tidak hanya bergantung kepada komoditi sedia ada seperti getah dan kelapa sawit.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata antara aspek penting yang disalurkan oleh kementerian itu adalah mengenai prasarana, pembangunan modal insan serta kegiatan ekonomi yang mahu dijalankan supaya wujudnya keupayaan bagi menjana sektor ekonomi luar bandar yang tidak hanya bergantung kepada komoditi sedia ada.

"Itu antara perkara yang kita kenal pasti, selain itu kementerian turut melihat kerangka pemasaran hasil kegiatan ekonomi, contohnya apabila masyarakat luar bandar ternak ikan, mereka boleh ternak sebanyak mungkin, tetapi bagaimana pula kemudahan pemasaran. Jadi rangkaian sistem pengangkutan, aspek pembungkusan itu antara yang perlu diperincikan," katanya kepada pemberita di Slim River malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) Risda negeri Perak bagi tahun 2009 di Masjid Ensaniah, Kampung Kelan.

Katanya beliau juga turut mengadakan pertemuan dengan agensi di bawahnya serta agensi pembangunan koridor seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk membincangkan aspek penyelarasan peranan dan kegiatan yang dilakukan kesemua agensi itu supaya usaha untuk meningkatkan hasil pendapatan dapat disalurkan kepada masyarakat luar bandar.

"Kita mahu usaha ini dapat meningkatkan dan membantu masyarakat luar bandar memperoleh pendapatan yang mampan. Kita tidak mahu hari ini mereka ternak ikan selepas itu jual seminggu tetapi selepas itu sebulan tiada, setahun tiada. Oleh itu kita akan kenal pasti usaha bagaimana kita mahu pendapatan yang mampan supaya ada kesinambungan dalam ekonomi mereka," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata KKLW bukan kementerian tunggal yang terlibat dalam pemberian input-input penting dalam penyediaan Model Baru Ekonomi Luar Bandar kerana banyak kementerian lain yang turut mempunyai peranan di peringkat luar bandar seperti dalam aspek kesihatan, kemiskinan, prasarana dan pertanian.

"Banyak agensi lain di bawah kementerian yang lain akan terlibat supaya perancangan Model Baru Ekonomi Luar Bandar itu menjadi komprehensif. Kita tidak mahu apabila ia dilaksanakan nanti impaknya sedikit, kita mahu kesannya meluas dan besar kepada masyarakat luar bandar," katanya.

Beliau berkata selain untuk meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar melalui model itu, ia juga bertujuan untuk mengelakkan penghijarahan golongan muda ke bandar yang akan memberi tekanan terhadap pembangunan bandar.

Terdahulu, pada majlis itu seramai 350 peserta RTBB dan TSK menerima dividen masing-masing dan anak syarikat Risda, ESPEK Sdn Bhd turut membuat pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM47,428.89 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Syed Omar Sharifuddin.

No comments:

Post a Comment