Pasukan bola sepak T-Team menerima peruntukan RM1 juta daripada Kerajaan Negeri untuk menghadapi saingan liga Piala Malaysia musim ini yang akan membuka tirainya hari raya ketiga nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat berkata, peruntukan yang diluluskan itu dianggap cukup bagi menguruskan segala kelengkapan pasukan musim ini.
Menurutnya, jika tidak mencukupi mereka akan menyediakan peruntukan tambahan.
"Kerajaan Negeri yakin kemampuan T-Team memandangkan mereka mampu berada pada kedudukan baik Liga Super lalu.
“Bagi kami, kedudukan di tangga ketujuh satu pencapaian yang dianggap cukup baik kerana T-Team baru pertama kali layak bersaing pada Liga Super dan seterusnya terpilih pada saingan Piala Malaysia,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama pegawai dan pemain T-Team di Primula.
Rozi yang juga pengurus T-Team berkata, kemampuan pemain yang membarisi pasukan itu memberangsangkan kerana mereka masih muda dan kerajaan yakin dengan kemampuan mereka menggalas cabaran yang ada.
Menurutnya, laluan yang bakal dilalui T-Team memang sukar tetapi mereka yakin pemain mampu memberikan cabaran hebat terhadap lawan dalam Liga Malaysia untuk edisi kali ini.
"Pertemuan dengan Selangor pada hari raya ketiga mungkin sedikit membimbangkan memandangkan kehandalan pasukan itu memang diakui.
“Setiap pasukan melakukan persiapan masing-masing, jadi tidak mustahil persediaan dilakukan T-Team mampu menyaingi Selangor sekali gus menduduki sekurang-kurangnya tangga kedua peringkat kumpulan untuk layak ke suku akhir,” katanya.
Menurutnya, pada peringkat kumpulan ini, T-Team perlu bekerja keras bagi melepas halangan di peringkat ini yang dijangka sengit.
Katanya, jika T-Team melepasi cabaran di peringkat kumpulan, beliau percaya pasukan itu akan mara ke peringkat seterusnya.
"Sebagai pasukan yang baru, kedudukan di tempat ketujuh dalam liga super sudah cukup baik untuk menjana saingan yang seterusnya," katanya.
No comments:
Post a Comment