Tuesday, September 21, 2010

Pemandu Bas Buat Hal, Pelajar Terkandas Untuk Pulang Ke Institut

Gara-gara sikap pemandu bas sewa yang tidak mahu meneruskan perjalanan, seramai 47 orang pelajar dari Kelantan dan Terengganu gagal untuk kembali semula ke Institut Kraf Malaysia di Rawang, Selangor semalam.

Bas berkenaan yang ditempah, datang dari Kuala Lumpur untuk mengambil pelajar dari Kelantan dan Terengganu, dikatakan tidak mahu meneruskan perjalanan balik kerana kononnya terdapat lebihan tiga penumpang yang mahu menaiki bas berkenaan.

"Setelah mengetahui ada lebihan penumpang, pemandu bas meminta bayaran tambahan sebanyak RM300 daripada kami. Setelah kami ramai-ramai kumpul wang berkenaan, dia meminta lagi sebanyak RM500 dan seterusnya RM1,000.

"Mana kami mampu menyediakan wang sebanyak itu dan bas berkenaan lalu meninggalkan kami di surau ini kira-kira 3 pagi tadi (semalam)," kata salah seorang pelajar, Nur Shusaida Ahmad, 19, ketika ditemui di Surau Syed Saqaf di Kuala Terengganu.

Kumpulan pelajar berkenaan pulang berhari raya pada 8 Sept lepas dan sepatutnya kembali ke pusat pengajian mereka semalam.

"Semasa kami pulang ke kampung pada 8 Sept lepas, kami membayar tambang pergi-balik sebanyak RM94 seorang untuk menaiki dua buah bas ke Kota Baharu dan ke Kuala Terengganu.

"Oleh kerana jumlah kami yang tidak ramai (47 orang), pihak pengurusan bas menyediakan sebuah bas sahaja untuk kami balik semula ke Rawang, sehingga berlaku kekecohan yang kami alami ini," kata Nur Shusaida.

Seorang lagi pelajar, Nurul Azima Jusoh, 18, turut berkata pihak pengurusan bas berkenaan berjanji akan mengambil mereka di Kota Baharu pada pukul 9 malam tadi namun bas yang dijanjikan hanya tiba pada tengah malam.

"Pemandu beri alasan tayar basnya pancit di Merapoh, Pahang. Sudahlah minta bayaran tambahan, kami turut ditengking dengan perkataan kasar dan kesat oleh pemandunya," katanya.

Bapa kepada seorang pelajar, Jusoh Endut, 51 kecewa dengan kejadian tersebut.

Namun beliau berkata beliau dimaklumkan terdapat keluarga pelajar yang meminta bantuan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu bagi menyediakan bas untuk membolehkan pelajar pulang ke Rawang.

"Mereka mungkin dapat balik sebelum malam ini (malam semalam)," katanya.

No comments:

Post a Comment