Tuesday, September 21, 2010

YPU salur RM8 juta buka 100 T’ Shoppe menjelang 2020

Rangkaian kedai serbaneka T’ Shoppe menjadi tumpuan orang ramai di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperuntukkan RM8 juta untuk membuka 100 cawangan T’ Shoppe menjelang 2020 di seluruh negara berikutan sambutan yang memberangsangkan daripada pelanggan.

Pengurus Pembangunan Promosi dan Penyertaan Perdagangan YPU, Zulkifli Yunus berkata, dalam tempoh itu, pihaknya menyasarkan untuk melahirkan 100 usahawan di kalangan anak negeri ini dalam bidang peruncitan secara sistematik dan dalam suasana kondusif.

“Sejak dilancarkan Ogos tahun lalu, T’ Shoppe yang mencorakkan budaya niaga baru kepada usahawan kini mempunyai 11 cawangan termasuk di Kedah dan Melaka, manakala lapan lagi dibuka bulan depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Terengganu, kelmatin.

T’ Shoppe dikelolakan anak syarikat YPU iaitu Cakna Sdn. Bhd. yang memasarkan hampir 200 jenis produk tempatan seperti minyak urut berasaskan herba, cuka nipah, keropok lekor, karipap segera dan jus roselle melibatkan 95 usahawan serta syarikat.

Katanya, lapan cawangan yang baru meliputi empat cawangan di negeri ini dan empat lagi di luar Terengganu termasuk di Sungai Petani, Jerantut dan Ampang.

“Sehingga kini permohonan untuk membuka rangkaian kedai serbaneka 24 jam ini begitu menggalakkan dengan jumlah jualan yang semakin meningkat setiap bulan,” katanya.

Menurutnya, menjelang 2020 YPU menyasarkan 70 peratus produk industri kecil dan sederhana (IKS) akan dapat dipasarkan menerusi rangkaian T’ Shoppe.

“Terdapat juga barangan yang dihasilkan usahawan IKS tidak memenuhi piawaian untuk dipasarkan T’ Shoppe,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, YPU berusaha membantu usahawan IKS tempatan meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan supaya dapat dipasarkan bukan sahaja di pasaran tempatan malah mampu bersaing ke peringkat global.

“T’ Shoppe merupakan alternatif terbaik dilaksanakan YPU bagi membantu golongan usahawan yang sebelum ini sukar mendapat tempat di pasar raya terkenal di negeri ini.

“Ia memberi ruang kepada usahawan dalam industri pembuatan termasuk makanan memperluaskan pasaran mereka dengan menitikberatkan mutu produk, pembungkusan dan pelabelan,” katanya.

No comments:

Post a Comment