Tuesday, September 21, 2010

Terengganu Bimbang Pelancong Ke Pulau Terlalu Ramai

Kerajaan negeri Terengganu menganggap kapasiti semasa pelancong yang melawat pulau-pulau peranginan di negeri ini terlalu ramai dan tidak mampu ditampung pulau-pulau berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Rahin Mohd Said berkata pihaknya bimbang keadaan itu mungkin akan mencemarkan lokasi pelancongan berkenaan dan merosakkan batu karang.

"Sebab itu, kita akan membuat kajian perkara ini bagi memastikan pulau berada dalam keadaan baik untuk jangka masa panjang," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Rahin berkata kerajaan negeri merasakan jumlah 2,000 pelancong sehari ke pulau peranginan seperti Pulau Kapas, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol dan Pulau Redang adalah satu kapasiti yang tidak boleh ditanggung oleh pulau-pulau itu.

Walaupun jumlah pengunjung dari dalam dan luar negara itu mampu memberi pulangan ekonomi yang lumayan kepada kerajaan negeri, ia tidak begitu baik kepada alam sekitar di pulau-pulau itu untuk jangka masa panjang, katanya.

"Lebih baik kita ada 1,000 pelancong sehari tetapi kita boleh guna selama-lamanya, dan inilah kapasiti yang kita mahu," katanya.

Rahin berkata kerajaan akan mengisi Pulau Warisan di sini yang hampir siap dibina dengan pelbagai ciri warisan sesuai dengan budaya negeri itu.

Sementara itu, beliau berkata rancangan kerajaan untuk memindahkan 200 peniaga di Pasar Payang ke Pulau Warisan dibatalkan kerana bimbang akan menjejaskan keindahannya.

No comments:

Post a Comment