Thursday, September 9, 2010

Program Kanda Banteras Masalah Penagihan Dadah Di Terengganu

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cawangan Terengganu akan melancarkan program 'Kanda" bagi mengatasi masalah penagihan dadah di seluruh negeri itu selepas Aidilfitri ini.

Pengarah AADK negeri Wan Addenan Wan Ahmad berkata Kanda adalah gabungan tiga elemen utama iaitu pemulihan, pencegahan dan penguatkuasaan.

"Kita akan buat secara menyeluruh program ini di Terengganu selepas Hari Raya Aidilfitri ini," katanya semalam.

Beliau berkata Kanda akan diadakan di kawasan perumahan dengan penglibatan Ketua Kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rukun Tetangga, Rela dan penduduk setempat.

Katanya sebagai perintis, program Kanda telah diadakan di Kampung Losong di Kuala Terengganu bulan lepas dan masyarakat setempat memberikan kerjasama penuh terhadap program itu.

"Menerusi program Kanda, ia akan mempermudahkan pegawai-pegawai berkenaan membuat penyelesaian di tempat kes itu sendiri bila seseorang penagih ditahan. Maknanya semua pihak ada di situ, JKKK, Rela, Ketua Kampung, ibu bapa dan lain-lain lagi," katanya.

Wan Addenan berkata biasanya kes-kes dadah akan dibawa ke mahkamah tetapi menerusi program Kanda, penagih tidak akan dikenakan tindakan mahkamah.

"Program Kanda tidak secara langsung akan menimbulkan rasa tanggungjawab masyarakat terhadap kegiatan penyalahgunaan dadah di kampung mereka," katanya.

Wan Addenan berkata Terengganu dipercayai sebagai negeri pertama yang mengadakan program seumpama itu.

No comments:

Post a Comment