Kira-kira 1,000 pasukan akan berentap pada Kejohanan Futsal Piala Datuk Seri Menteri Besar yang akan berlangsung selama sebulan bermula Selasa, 12 Oktober ini.
Selain disertai anggota pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO seluruh negeri, penyertaan turut terbuka kepada rakyat negeri ini yang berusia 15 tahun ke atas, tidak terkecuali pemain bola sepak yang mewakili negeri.
Pelancaran kejohanan anjuran bersama Kelab Remaja Terengganu, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO negeri itu akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat di Dataran Dungun pada 15 Oktober ini.
Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Saiful Bahri Baharudin (gambar kiri), kejohanan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu putera dan puteri dengan masing-masing menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 untuk juara.
"Pemenang tempat kedua pula berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan RM2,000 di tempat ketiga," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, kejohanan itu diadakan secara berperingkat-peringkat membabitkan semua kawasan Parlimen iaitu Setiu dari 7 hingga 9 Oktober ini, Hulu Terengganu (12 hingga 16 Oktober), Marang (8 dan 9 Oktober).
Bagi Kemaman, kejohanan berlangsung pada 14 dan 15 Oktober, Dungun (22 hingga 29 Oktober) manakala Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Besut dijadual diadakan serentak pada 15 dan 16 Oktober ini.
Menurutnya, peringkat akhir kejohanan dijangka berlangsung pada penghujung November ini di Kompleks Sukan Terengganu di Gong Badak dekat sini.
"Antara syarat penyertaan adalah para peserta sudah mendaftar sebagai pemilih, mewakili kawasan Parlimen masing-masing manakala mereka yang mewakili peringkat negeri juga layak turut serta," ujarnya.
Untuk keterangan lanjut, boleh menghubungi Biro Sukan Pemuda UMNO Bahagian iaitu Abdul Halim Harun (014-8161661 - Besut), Jamal Syukri Razali (019- 9969605 - Dungun), Zulkifli Mat Khalid (013-96758039 - Marang).
Mohd. Hazali Mat (012-9508656 - Setiu), Azizol Mohd. Zanggi (014- 8017162 - Hulu Terengganu), Mohd. Nazri Othman (019-9533505 - Kemaman), Mohd. Zaid Mohd. Yusoff (013-9226666 - Kuala Terengganu) dan Khairuddin Abdul Majid (013- 3535000 - Kuala Nerus).
No comments:
Post a Comment