Thursday, October 21, 2010

16 siswi terima Anugerah Nadi Negara

Shahrizat bergambar bersama penerima Anugerah Nadi Negara di PWTC, semalam.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Agroteknologi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Norma Fadila Mohamad, 22, adalah antara 16 siswi cemerlang akademik dan kokurikulum institusi pengajian tinggi awam (IPTA),menerima Anugerah Nadi Negara Pergerakan Wanita UMNO.

Ia adalah penyampaian anugerah yang diadakan buat kali kedua, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Norma Fadila menyangkal dakwaan bergiat aktif boleh menjejaskan tumpuan terhadap pengajian.

"Kita yang menentukan keupayaan sebenar dan seharusnya bijak menseimbangkan masa antara mentelaah pelajaran dan aktiviti kokurikulum.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Wanita UMNO yang menganjurkan anugerah ini yang dapat menjadi perangsang kepada graduan wanita untuk terus cemerlang," katanya.

Penerima menerima piala, sijil penghargaan, jam tangan Tissot dan wang tunai RM500 disampaikan Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Berteraskan slogan 'Graduan Cemerlang Pemimpin Terbilang,' idea dicetuskan Shahrizat itu juga bertujuan membajai bakat kepemimpinan yang tersemai di kalangan graduan yang juga bakal pemimpin negara.

Sementara itu, seorang penerima lain, Masturah Mohamad Nadzari, 22, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Marin Universiti Malaysia Sabah (UMS), tidak menyangka pembabitannya dalam aktiviti kokurikulum termasuk sukan sejak di universiti diiktiraf apabila dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan.

"Bukan mudah membahagikan masa antara pelajaran (akademik) dan kokurikulum. Saya akui kita perlu seimbangkan antara kedua-duanya. Waktu tidur tidak menentu tetapi saya tidak merungut kerana inilah pilihan saya," katanya.

Nurain Khairi, 23, pula bersyukur kerana pembabitan aktifnya dalam kemasyarakatan mendapat pengiktirafan tinggi.

"Ini detik yang amat bermakna dalam hidup saya selain kenangan manis bergelar penerima anugerah dekan tujuh semester dan memperoleh ijazah kepujian kelas pertama," kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

1 comment: