Hazwan Hazim waspada terhadap tiga pesaing utamanya - Razali (MAF1), Jeremy (Koo Racing Team-Evernew) dan Tiffany Koo.
Hazwan Hazin Dermawan (Team Pulse-AC Law) bermula garang pada hari pembukaan Kejohanan Match Racing Malaysia dengan memenangi semua lima pertembungan di Ri-Yaz Heritage Marina Resort dan Spa di Pulau Duyong, Kuala Terengganu semalam.
Namun, juara bertahan itu berwaspada terhadap cabaran yang perlu dihadapinya selepas ini tatkala dia masih belum berdepan tiga pesaing utamanya - Mohd Razali Mansor (MAF1), Jeremy Koo (Koo Racing Team-Evernew) dan Tiffany Koo.
Razali dan Jeremy berkongsi kedudukan kedua ketika ini dengan empat mata daripada lima perlawanan manakala Tiffany berkongsi tempat keempat bersama Nurul Elia Anuar (Sail Putrajaya) dan Nik Ashraf Qaedi (Team One), tiga mata.
Mohd Masyuri Rahmat, yang dipilih ke Sukan Asia bulan depan, bermula goyah di apabila mengutip hanya satu mata manakala pendahulu awal tahun lalu, Rizal Mahadi Sazli juga tersekat dengan satu mata. Skipper, Jerome Welch yang membuat penampilan pertamanya sudah tewas kesemua enam perlumbaan sehingga kini.
Hazwan berkata tiupan angin yang berubah-ubah pada 180 darjah, menjadikan keadaan sukar buatnya tetapi dia menjangkakan perlawanan hari ini menentang Razali, Jeremy dan Tiffany lebih sukar daripada keadaan cuaca.
“Angin berubah-ubah hari ini (semalam) tetapi itu adalah asam garam pelayaran. Kami perlu belajar menyesuaikan diri dan saya bernasib baik berjaya melepasi garisan penamat di dalam keadaan berbeza,” katanya yang berusia 22 tahun.
No comments:
Post a Comment