Tahun ini sebanyak tujuh penerbangan haji akan membawa jemaah dari Terengganu melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu untuk menunaikan ibadat haji di Mekah.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri mengemukakan permohonan untuk mendapatkan 10 penerbangan tetapi kerajaan Arab Saudi hanya meluluskan tujuh daripadanya.
Tahun ini seramai 2,335 bakal haji dari Terengganu akan mula berlepas ke Tanah Suci Mekah mulai 16 Oktober ini.
Pengarah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) negeri Terengganu Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata 25 September lalu, mereka akan berlepas secara berperingkat.
Selain bakal haji dari Terengganu, jemaah dari Kelantan dan sebahagian dari Pahang juga turut berlepas dari LTSM.
Sehingga ini segala urusan mengenai jemaah haji untuk ke Tanah Suci berjalan dengan lancar dan sempurna.
Kerajaan negeri Terengganu turut menghantar 175 kakitangannya menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini.
Mereka terdiri daripada Imam dan Bilal, para Hafiz Al-Quran, anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta kakitangan jabatan kerajaan yang lain.
Jumlah yang dihantar menunaikan haji tahun ini lebih ramai iaitu 175 orang berbanding 85 orang sahaja tahun lepas.
Bakal haji dinasihat supaya menjaga kesihatan serta mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Tabung Haji bagi melicinkan segala urusan menunaikan ibadat itu.
No comments:
Post a Comment