Pengurusan Taman Tamadun Islam (TTI) akan menyediakan sekurang-kurangnya dua bot untuk memulakan operasi dari TTI ke Kuala Berang, iaitu ke destinasi tempat bersejarah batu bersurat selewat-lewatnya awal November ini.
Pengarah Eksekutif TTI, Engku Md Azmi Abdul Rahman (gambar) berkata, pakej yang dinamakan Mudik Sejarah itu akan melalui kawasan tanaman jagung dan tempat berkelah popular sepanjang menyusuri sungai.
“Pakej satu hari dengan kadar bayaran RM50 hingga RM70 ini berpatutan kerana kita akan menyediakan menu makanan mengikut cita rasa penumpang,” katanya.
Menurutnya, TTI mengambil keputusan menyediakan perkhidmatan bot ke tempat bersejarah berikutan masih ramai pelancong tidak sempat melawat tapak batu bersurat.
“Justeru, dengan pakej terbaru yang disediakan, kita yakin orang ramai mendapat dua manfaat iaitu mengetahui sejarah Terengganu dan pada masa sama menikmati keindahan flora dan fauna yang belum diterokai,” katanya.
No comments:
Post a Comment