Monday, October 4, 2010

Tiga Masjid Baru Untuk 3 Kampung di DUN Batu Burok

Tiga buah masjid baru bakal dibina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok pada tahun hadapan dengan kos peruntukan sebanyak RM2 juta untuk setiap buah.

Pegawai Pembangunan DUN Batu Burok, Datuk Che Mat Jusoh berkata, pembinaan masjid baru yang diluluskan Kerajaan Negeri itu melibatkan tiga kampung iaitu Kampung Kubang Ikan, Kampung Gong Tok Nasek dan Permint Jaya, Chendering.

“Projek pembinaan ketiga-tiga masjid baru ini bermula tahun hadapan dan jika semua perancangan berjalan lancar, ia dijangka siap sepenuhnya pada 2013,” katanya sempena Majlis Sambutan Hari Raya peringkat DUN Batu Burok di Pejabat Pusat Khidmat DUN Batu Burok baru-baru ini.

Berhubung pembinaan Masjid Chendering yang gagal siap pada hujung tahun ini, Che Mat berkata, kerja pembinaan yang ‘lari’ daripada tarikh ditetapkan berpunca daripada masalah kontraktor yang menguruskan projek tersebut.

“Masalah ini difahamkan telah diselesaikan dan walaupun kini, kerja pembinaan berjalan agar lambat namun kami berharap masjid yang bernilai RM6 juta kesemuanya akan siap pada tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, menurut Che Mat, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan menyediakan kemudahan sebuah dewan orang ramai di DUN ini yang mampu memuatkan seramai 1,000 orang.

“Bagi pembinaan dewan orang ramai, kami bersetuju memilih lokasi di sekitar Chendering dan sebaik sahaja usaha mencari tapak yang bersesuaian berjaya, kerja pembinaan akan dijalankan segera,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Che Mat berkata, sebanyak sembilan buah rumah bina baru dan 12 buah baik pulih rumah berjaya dilaksanakan dalam fasa pertama di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi tahun ini.

“Kini, kita usahakan untuk fasa kedua yang mana setakat hari ini, sebanyak 13 buah rumah bina baru dan 33 buah rumah baik pulih penduduk yang layak di DUN ini sudah disenaraikan.

“Berhubung bantuan atap biru pula, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, sebanyak 6,000 keping atap telah diagihkan kepada 260 penduduk yang layak,” katanya.

No comments:

Post a Comment