Friday, October 22, 2010

BPA Selesaikan 998 Kes Aduan Rakyat

Biro Pengaduan Awam (BPA) negeri berjaya menyelesaikan 998 kes daripada 1,024 aduan yang diterima daripada orang ramai sepanjang tempoh sembilan bulan lalu.

Pengarahnya, Wee Lip Ping berkata, daripada jumlah itu sebanyak 765 kes adalah merupakan aduan berasas daripada pengadu.

Katanya, jumlah aduan menurun sedikit jika dibandingkan dalam tempoh yang sama tahun lalu yang mencatatkan 1,058 aduan.

''Kami menerima pelbagai jenis aduan antaranya seperti masalah kemudahan awam, pihak berkuasa tempatan, perkhidmatan, keselamatan, kebajikan, kewangan, alam sekitar dan perumahan.

"Soal kemudahan awam merangkumi permohonan dan kerosakan merupakan aduan yang paling tinggi diterima iaitu sebanyak 236 kes," katanya semalam.

Bagaimanapun, katanya, kesedaran penduduk di negeri ini terhadap peranan biro ini masih rendah berbanding negeri lain dan ia cuba diatasi dengan peningkatan program turun padang.

Katanya, setiap tahun pihaknya akan mengadakan program turun padang di kawasan yang terpilih bagi mendekati penduduk agar mereka lebih selesa untuk membuat sebarang aduan.

Ini kerana, jelasnya, rata-rata penduduk di negeri Terengganu dan Kelantan lebih gemar membuat aduan melalui laman web mahupun program berbentuk kaunter bergerak berbanding menghubungi atau mengunjungi pejabat BPA sendiri.

Bagi mereka yang ingin mendapat maklumat lanjut mahupun membuat sebarang aduan boleh menghubungi BPA Terengganu di talian 09-6238135 atau menghantar khidmat pesanan ringkas dengan menulis MySMS dan hantar kepada 15888.

No comments:

Post a Comment