Wednesday, October 20, 2010

Dataran Pertanian Diwujud Di Setiu

Kerajaan negeri akan mewujudkan dataran pertanian di Sungai Bari, Setiu sesuai dengan peranan daerah itu sebagai kawasan pertanian utama di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Ashaari Idris berkata selain itu, pihaknya telah berbincang dengan Fama dan Jabatan Pertanian supaya memperbanyakkan jualan terus hasil pertanian di tepi jalan bagi memberi suasana kawasan pertanian kepada orang ramai yang memasuki daerah itu.

"Walaupun Setiu adalah kawasan pertanian, tetapi bila kita masuk ke daerah itu bermula dari Sungai Tong hingga Bintang, tidak rasa seperti kita berada dalam kawasan pertanian.

"Ini berbeza dengan Kemaman, kita terasa berada dalam kawasan perindustrian atau Marang kawasan nelayan," katanya kepada pemberita selepas program gerai buah-buahan segar (GBBS) bersama media di Kampung Pak Kancil, semalam.

Sementara itu, Ashaari berkata kerajaan akan memperluaskan tanaman jagung di daerah Hulu Terengganu daripada 52 hektar kepada 144 hektar dan hasil tanaman itu akan dipasarkan secara lebih tersusun melalui anak syarikat kerajaan negeri Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC).

Beliau berkata pada masa ini TADC mampu memproses dan menjual 10,000 jagung sehari dan jumlah itu akan ditingkatkan kepada 20,000 apabila kawasan tambahan itu ditanam sepenuhnya.

Mengenai kilang ubi Vetato yang dalam pembinaan di Tembila Besut, beliau berkata kilang berharga lebih kurang RM4 juta itu dijangka siap dan mula beroperasi awal tahun depan.

Kiang itu berupaya memproses ubi Vetato untuk dijadikan tepung bagi keperluan industri sebanyak empat hingga lima tan sehari, katanya.

No comments:

Post a Comment