Tuesday, October 5, 2010

Dua Pelajar Maut Selepas Motosikal Ditunggang Bertembung Kereta

Gambar dirakamkan TV3 mengenai kemalangan membabitkan dua pelajar yang meninggal di tempat kejadian.

Dua pelajar maut apabila motosikal yang ditunggang mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kuala Ibai, di sini pagi Isnin.

Kejadian berlaku ketika Ahmad Asrul Hakimi Abdullah, 14, dan rakannya Muhammad Aszwan Hakim Alamin Salim, 13, kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman, sedang dalam perjalanan ke sekolah mereka pada kira-kira pukul 6.30 pagi semalam.

Kedua-duanya yang tingal di Kondo Rakyat Kuala Ibai di Kuala Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala serta badan, dan mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dibedah siasat.

Ibu Ahmad Asrul, Siti Fatimah Aziz, 36, ketika ditemui pemberita di bilik mayat hospital itu berkata anaknya mempelawa rakan karibnya itu membonceng motosikal untuk ke sekolah pagi itu, walaupun kedua-duanya sebelum ini ke sekolah dengan bas.

Ibu tunggal itu berkata dia sungguh terkilan kerana tidak dapat menemui anaknya sebelum anaknya itu hendak ke sekolah pagi tadi kerana Ahmad Asrul keluar ketika beliau sedang mandi.

"Setiap hari sebelum ke sekolah anak saya itu bersalam dahulu dengan saya. Tetapi hari ini dia pergi tanpa jumpa saya dulu," katanya.

Sementara itu ibu Muhammad Aszwan, Maimun Jusoh, 50, pula berkata beliau tidak menyangka anaknya itu akan membonceng rakannya kerana pagi tadi beliau sendiri yang menghantar anaknya ke tangga bas.

"Entah bila pula dia turun dan membonceng motosikal rakannya itu," katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Supt Zamri Shamsuddin ketika dihubungi berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal terbabit dikatakan bergerak melawan arus trafik.

Pemandu kereta itu dan anaknya yang belum dipastikan identiti cedera ringan dan kini dirawat di HSNZ.

No comments:

Post a Comment