Sunday, October 10, 2010

ExxonMobil Sumbang RM70,000 Kepada KAWAT

TERIMA KASIH ... Presiden Kawat, Ayob Mamat (kiri) menerima sumbangan penajaan AKKEM 2010 daripada Tuan Haji Farid Jaafar.

Tahniah kepada ExxonMobil dan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat).

Kedua-duanya akan menganjurkan Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil sekali lagi tahun ini.

ExxonMobil bersetuju menyumbangkan sebanyak RM70,000 kepada Kawat sempena Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil 2010.

Pengurus Hal Ehwal Awam dan Perhubungan Kerajaan, Subsidiari-subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Farid Jaafar berkata, sumbangan itu sebahagian daripada program kemasyarakatan yang berkaitan dengan modal insan.

“Setiap tahun pihak ExxonMobil menyumbang lebih RM2juta untuk menyokong program dalam empat bidang utama iaitu pembangunan modal insan, celik tenaga, keselamatan dan kesihatan serta tadbir urus korporat,” katanya.

Menurutnya, anugerah kewartawanan Kawat-ExxonMobil adalah penganjuran paling lama di negara ini dan membuktikan bahawa ia masih relevan dalam mendorong wartawan membuahkan hasil yang kreatif dan berkualiti.

“Apa yang membanggakan, peranan Kawat sentiasa aktif dan peka kepada ahli media massa di Terengganu serta turut memastikan kejayaan anugerah ini diteruskan walaupun memasuki tahun ke-25.

“Sebagai syarikat terkemuka di negara ini, kita akan terus menyokong usaha pengamal media di Terengganu dalam menzahirkan kreativiti mereka melalui penghasilan karya yang bermutu tinggi selain memperkasakan ilmu dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian cek anugerah kewartawanan Kawat-ExxonMobil 2010 di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Farid berkata, bagi memastikan kelangsungan anugerah tersebut diteruskan setiap tahun, penambahan beberapa kategori khusus perlu diambil kira selain kategori asal yang sedia ada.

“Ini sebab, ia boleh memberi satu saingan yang sihat kepada wartawan di negeri ini untuk memberi idea bernas dalam penulisan mereka agar boleh menjadi pendorong kepada pembaca apabila membaca karya yang dihasilkan.

“Setakat ini antara anugerah yang dipertandingkan adalah kategori penulisan rencana terbaik, penulisan berita terbaik, penulisan berita sukan terbaik, penulisan berita ekonomi terbaik, foto terbaik, audio visual terbaik, anugerah khas presiden dan hadiah khas radio,” katanya.

No comments:

Post a Comment