Sunday, October 10, 2010

Piala Malaysia: Terengganu Mara, T-Team Gagal

Pemain Kelantan, Norshahrul Idlan (kiri) cuba dihalang pemain KL Plus, Mohd Fadli Saari dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, malam tadi. Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor FC, Perlis genapkan 8 slot suku akhir.

Terengganu terpaksa menunggu sehingga minit terakhir sebelum mengesahkan kemaraan ke suku akhir saingan Piala Malaysia dengan kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium KLFA Cheras, malam tadi.

Kemaraan Terengganu yang mulanya disifatkan mustahil datang juga selepas menafikan Sabah yang seri 1-1 dengan Pahang di Stadium Darulmakmur dalam perebutan Kumpulan B.

Finalis musim lalu, Kelantan, Pahang, Johor FC, Kedah dan Perlis mengisi lima lagi slot terakhir selain Terengganu untuk bersama-sama Selangor dan Negeri Sembilan selepas menamatkan perlawanan peringkat kumpulan masing-masing, malam tadi.

Kelantan mengesahkan tiket menerusi kemenangan selesa 4-0 ke atas KL Plus dalam saingan Kumpulan A di Stadium MBPJ, menerusi jaringan Badri Radzi pada minit ke-24, diikuti dua gol Norshahrul Idlan Talaha (32, 41) dan Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid (67).

Red Warriors mengiringi Negeri Sembilan dari kumpulan itu selepas skuad Rusa yang sudah pun layak, mengesahkan kedudukan di tempat teratas kumpulan hasil kemenangan 3-1 ke atas PKNS di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi walaupun pelawat berada di depan pada minit ke-34 hasil jaringan Mohd Khairul Ahyar.

Anak buah Wan Jamak Wan Hasan bangkit menerusi jaringan Ching Hong Aik (41), Shukor Adan (81) dan Mohd Asyraf Al Japeri (90).

Pasukan pilihan Kumpulan C, Johor FC mara selepas menundukkan Perak 1-0 hasil tandukan Azizan Baba pada minit ke-47 di Stadium Perak ketika Kedah turut meraih kemenangan selesa 4-0 ke atas Tentera, dibantu jaringan Mohd Khyrill Muhymeen Zambri pada minit ke-44, Baddrol Bakhtiar (66), Wan Mohd Asyraf (73) dan Mohd Azmi Muslim (89).

Dalam Kumpulan D, meskipun tewas 2-0 kepada Selangor menerusi dua gol Amirulhadi Zainal Noordin pada minit ke-50 dan 86, Perlis masih mampu menghela nafas lega apabila pencabar terdekat T-Team hanya mampu seri 1-1 dengan FELDA United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

T-Team menjelmakan harapan apabila mendahului menerusi Mohd Haris Safwan Kamal (53) tetapi jaringan penyamaan sepakan penalti S Puanaswaran tiga minit kemudian, memastikan mata tunggal buat barisan E Elavasaran sepanjang kempen Piala Malaysia.

No comments:

Post a Comment