Thursday, October 21, 2010

Pesta Kejohanan Monsun 2010 Dapat Sambutan

Karnival Kejohanan Piala Monsun 2010 peringkat Dungun akan diadakan 2 Disember selepas kejayaan di Hulu Terengganu baru-baru ini.

Ia akan diikuti Kemaman di Kemasik akan diadakan pada 5 November Kelulut, Marang (19November) dan Pulau Duyong (1 Disember).

Pesta di daerah Hulu Terengganu berakhir meriah dengan pelbagai kelompok masyarakat menyertai pelbagai acara disediakan terutama segmen permainan rakyat yang mendapat sambutan hangat pengunjung.

Kemeriahan karnival cukup dirasai malah kumpulan ahli Pergerakan Wanita UMNO dan sayap Puteri UMNO dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, tidak ketinggalan beradu kebolehan bermain congkak.

Acara lain yang dianjurkan termasuk selambut kasih, pertandingan menguji minda, baling gelung berwarna dan pencarian bakat karaoke Monsun Cup Idol.

Turut memeriahkan sambutan, persembahan tarian Warna-Warna Malaysia dan persembahan bakat cilik, Alia Nabila Ahmad Tajuddin, 13, dan Ain Nur Fitriah Romdan, 9 tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail, berkata karnival itu mendekatkan penduduk tempatan dengan Piala Monsun 2010 yang kini menjadi acara tahunan dalam sirkit antarabangsa di Pulau Duyung.

Apa yang penting, kerajaan negeri mahu mempromosikan Terengganu sebagai negeri pelancongan melalui acara sukan seperti kejohanan Piala Monsun.

Dengan penganjuran Piala Monsun yang disertai pelumba kapal layar terkemuka dunia seperti Peter Gilmour dan Adam Minipriot, secara tidak langsung meletakkan nama negeri ini dalam kalendar destinasi acara sukan kapal layar dunia,” katanya di Kuala Berang baru-baru ini.

Seorang pengunjung, Rosli Abdullah, 27, berkata beliau tidak mahu ketinggalan menikmati kemeriahan karnival tahun ini selepas menyaksikan kejohanan Piala Monsun di Pulau Duyung, tahun lalu.

Cuma apa yang saya harapkan, penganjur boleh memperhebatkan promosi Piala Monsun 2010 dengan mengadakan jualan dan pameran kapal layar bersaiz kecil yang digunakan dalam kejohanan itu.

Selain itu, segmen memberi maklumat mengenai Piala Monsun 2010 dan tayangan video juga boleh diadakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment