Wednesday, October 20, 2010

Ibu Hilang Anak Dipatuk Ular

Spesis ular sawa tikus inilah yang dikatakan mematuk kaki Sabariah.


Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib malang yang menimpa Sabariah Mansor, 42, ibu kepada bakal pengantin yang hilang, Rozaliya Mat Lazim, 20, apabila dia kini terpaksa menanggung kesakitan selepas dipatuk ular malam kelmarin.

Berikutan itu, hasrat Sabariah untuk ke bandar Kuantan bagi mencari anak perempuannya yang hilang sejak enam hari lalu, tidak kesampaian apabila dia dipatuk seekor ular berdekatan rumahnya, malam kelmarin.

“Ketika hendak ke rumah jiran sebelah rumah untuk meminta pertolongan membeli makanan di kedai berdekatan untuk anak yang ditinggalkan di rumah sebelum saya ke Kuantan, tiba-tiba kaki sebelah kanan terasa sakit digigit atau disengat sesuatu sehingga menyebabkan saya tersentak,” katanya.

Dia kemudian dipapah saudara mara sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman (HK) kira-kira jam 10 malam, selepas mengadu sakit dipatuk reptilia berbisa itu sebelum dimasukkan ke wad dan dibenar pulang tengah hari semalam.

“Saya sedih dan kecewa kerana tidak dapat mencari Rozaliya akibat dipatuk ular. Saya berdoa kejadian ini bukan petanda tidak baik mengenai anak saya,” katanya.

Rozaliya yang dijadualkan berkahwin pada 12 November ini hilang sejak 13 Oktober lalu ketika keluar membeli barangan keperluan perkahwinan di Kuantan.

“Akibat dipatuk ular, kaki saya bengkak dan bertukar menjadi kebiru-biruan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Baru Cheneh dekat Kemaman semalam.

No comments:

Post a Comment