Wednesday, October 20, 2010

Kadar Elaun 2,200 Imam, 3,200 Guru KAFA Kekal

Kerajaan negeri memberi jaminan tidak akan memotong elaun lebih 2,200 imam serta 3,200 guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA), walaupun ada antara mereka adalah penjawat awam dan hanya menjalankan tugas tiga hari seminggu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, berkata lebih 85 peratus guru KAFA yang bertugas di negeri ini mempunyai pekerjaan serta pendapatan tetap dan mereka hanya menjalankan tugas secara sambilan di bawah pengawasan Yayasan Islam Terengganu (YIT).

Beliau berkata, walaupun menjalankan tugas secara sambilan, kadar elaun mereka akan dibayar penuh, termasuk menikmati kenaikan imbuhan daripada RM500 kepada RM800 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011, Jumaat lalu.

"Seramai 3,200 guru KAFA bertugas secara kontrak dan mereka hanya menjalankan tugas tiga hari seminggu.

"Begitu juga dengan 2,200 imam di negeri ini yang ada antara mereka hanya bertugas secara sambilan. Tetapi, kita tegaskan mereka tetap akan menerima elaun kenaikan daripada RM450 kepada RM750 sebulan dan kenaikan itu akan dibayar tahun depan," katanya mengulas kebimbangan guru KAFA dan imam mengenai kenaikan kadar elaun yang diumumkan Mohd Najib.

Sebahagian guru KAFA serta imam di negeri ini bimbang mereka tidak akan menerima kenaikan elaun kerana kebanyakan mereka hanya berkerja secara sambilan.

Ketika membentangkan Bajet 2011 Jumat lalu, Mohd Najib mengumumkan kenaikan elaun imam daripada RM450 kepada RM750, manakala guru KAFA daripada RM500 kepada RM800.

Khazan yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Batu Rakit, berkata kenaikan elaun untuk guru KAFA dan imam itu membuktikan bahawa kerajaan mengiktiraf peranan dan menghargai jasa mereka dalam menyalurkan ilmu kepada masyarakat setempat.

"Kita berharap guru KAFA dan imam dapat menunaikan amanah dan melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dalam memperkembangkan pendidikan agama di semua masjid serta sekolah, selain membantu kerajaan memartabatkan syiar Islam di negeri ini," katanya.

No comments:

Post a Comment