Konvensyen Terengganu 2010 selama dua hari - semalam dan hari ini - bakal mencari natijah agar usaha kerajaan negeri 'merakyatkan' pentadbiran dan pembangunan yang diharapkan dapat diterjemah secara menyeluruh dan berkesan.
Pengarah konvensyen, Datuk Rosli Mat Hassan (gambar kiri) berkata, ia menjadi agenda utama dengan harapan ke arah meningkatkan keyakinan rakyat untuk bersama menjadikan Terengganu sebagai negeri yang lebih hebat dan rakyat yang cemerlang.
Menurut beliau, ia mengambil kira senario Terengganu semasa dalam konteks politik nasional, keberkesanan strategi pembangunan yang digerakkan dan kemantapan kerajaan.
''Apatah lagi ketika peruntukan yang disalurkan bagi keperluan rakyat oleh kerajaan negeri dengan pelbagai 'keistimewaan' dalam pelbagai bidang mengatasi kadar yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat berasaskan tanggungjawabnya.
Katanya, konvensyen selama dua hari anjuran bersama kerajaan negeri dan UMNO di Hotel Primula di Kuala Terengganu mencakupi skop pembentangan aspek agama, sosial, politik dan pembangunan.
''Soal merakyatkan pentadbiran dan pembangunan yang menjadi moto kerajaan negeri ini tentunya melibatkan pendekatan turun padang untuk mengetahui cetusan hati rakyat.
''Usaha mendasari peringkat akar umbi telah dilakukan oleh kepemimpinan kerajaan, parti politik yang memerintah, UMNO. Namun ia yang perlu dinilai semula keberkesanannya," ujarnya di sini hari ini.
Menurut beliau, ia adalah program-program di samping peranan kepemimpinan negeri, parti dan jentera kerajaan di semua peringkat serta mencari penyelesaian terhadap permasalahan, kelemahan serta usaha mempertingkatkan melalui pelbagai kaedah.
Konvensyen kali ini berlangsung ketika banyak persepsi soal perpecahan dalam parti yang membawa gambaran kelesuan dan kelemahan jentera pentadbiran.
''Tetapi ia tidak sepatutnya menjadi ukuran hanya dengan sikap beberapa pemimpin di peringkat bawah yang mungkin tidak selari dengan arus kepemimpinan UMNO semasa sedangkan kerajaan dan parti memberi komitmen tinggi terhadap rakyat," ujarnya.
Katanya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan menyampaikan ucaptama yang tentunya turut menyentuh soal 'kebersamaan' dan pengukuhan hala tuju parti untuk direalisasikan semasa merasmikan konvensyen itu, esok.
''Penggulungan akan dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said," ujarnya.
Pada hari pertama, ia bermula dengan program sukan di samping pelancaran 1Terengganu seiring dengan gagasan 1Malaysia dalam majlis makan malam meraikan peserta.
''Konvensyen ini dengan muafakat gabungan pelbagai pihak yang bersama-sama mendokong usaha kerajaan yang dibentuk dengan pahit getir selama ini agar dapat terus membangunkan negeri ini seiring dengan arus perdana negara," ujarnya.
Menurut beliau, lebih 1,000 orang dalam pelbagai latar belakang termasuk ahli akademik, profesional dan wakil 23 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijangka hadir.
''Pegawai Pembangunan Negeri, Ahmad Abdullah akan membentangkan kertas kerja mewakili agensi Pusat manakala bagi peringkat negeri oleh Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri (UPEN), Hashimuddin Hashim (negeri).
''Ketua Penerangan Wanita UMNO negeri, Wan Maznah Nong yang mewakili ketiga-tiga sayap UMNO sebagai pembahas manakala Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu bagi kelompok NGO dan Datuk Muda Abdullah bagi kumpulan pemimpin veteran selain wakil parti dan UMNO bahagian-bahagian," ujarnya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment