Tunang kepada seorang gadis, Rozaliya Mat Lazim, 20, (gambar kanan) yang hilang ketika membeli-belah barangan persiapan perkahwinannya di sini minggu lalu, hari ini menafikan dakwaan dia melarikan bakal isterinya itu.
Mohd. Hilmi Mohd. Nor, 24, juga menolak andaian kononnya dia mempunyai krisis besar dengan tunangnya itu sehingga menyebabkan Rozaliya menghilangkan diri.
Beliau yang berasal dari Johor Bahru dan bekerja di Bandar Cheneh Baru, Kemaman, Terengganu hadir ke IPD Kuantan, kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.
Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha yang mengesahkan perkara itu berkata, polis mengambil masa lebih dua jam bagi merekodkan semua keterangan Mohd Helmi, 24, berikutan kes terbabit semakin banyak menimbulkan keraguan.
Katanya, keterangan itu penting selepas keluarga Rozaliya mendakwa gadis terbabit disembunyikan tunangnya itu.
“Kita memandang serius kes ini dan melihat semua aspek termasuk sama ada mempunyai unsur jenayah penculikan atau sebaliknya,” katanya semalam.
Zulkifli berkata, beberapa anggotanya pergi ke rumah Rozaliya di peringkat satu Bandar Cheneh Baru, Kemaman untuk bertemu ibu gadis berkenaan, Sabariah Mansor, 42, (gambar kiri) petang semalam bagi mengumpul maklumat kes itu.
“Ini disebabkan keluarganya enggan datang ke IPD Kuantan bagi memberi kerjasama,” katanya di sini, semalam.
Kehilangan Rozaliya, 20, yang bakal berkahwin pada 12 November ini dengan Mohd Helmi mendapat perhatian ramai dan polis meminta mereka yang melihat gadis terbabit segera menghubungi talian 09-5132222 atau bilik gerakan 09-5142999.
Mohd Helmi yang juga Pegawai FELDA ketika ditemui di Kemaman, berkata anggapan kononnya dia cuba menyembunyikan diri dan mengelak daripada keluarga Rozaliya, tidak benar sama sekali.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kes itu atas nasihat keluarga dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.
Pada hari kejadian, beliau mengambil Rozaliya dan menghantarnya ke pasar raya Mydin di Kuantan untuk membeli barang sebagaimana diminta sebelum kembali bertugas.
“Bagaimanapun, pada pukul 3.28 petang, saya menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) daripadanya menyatakan dia diekori dua lelaki. Apabila saya bergegas ke sana, saya dapati tunang saya sudah tiada," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.
Mohd. Hilmi yang bekerja sebagai penyelia tanah rancangan Felda Neram 2 hadir di IPD Kuantan bersama bapanya, Mohd. Nor Juah, 53, untuk memberi keterangan berhubung kehilangan Rozaliya.
Semalam, akhbar melaporkan mengenai kehilangan Rozaliya yang berasal dari Bandar Baru Cheneh, Kemaman, Terengganu semasa keluar membeli barangan keperluan perkahwinannya di sebuah pasar raya di sini pada 13 Oktober lalu.
Mangsa dijemput Mohd. Hilmi kira-kira pukul 11 pagi di rumahnya di Kemaman dan dipercayai hilang selepas menghantar SMS berbaur cemas kepada tunangnya.
Mohd. Hilmi memberitahu, dia juga bingung dan tidak tahu di mana tunangnya kini berada.
Sementara itu, Mohd. Nor turut menafikan sekeras-kerasnya anaknya terlibat melarikan Rozaliya, bahkan dia turut bertungkus- lumus mencari tunang anaknya itu hingga ke Batu Berendam, Melaka.
Mohd. Nor yang bekerja sebagai pemandu lori memberitahu, dia tampil membuat kenyataan di IPD kerana terkejut dengan laporan sebuah akhbar yang mendakwa anaknya disyaki terlibat melarikan tunangnya itu.
"Anak saya tidak melarikan Rozaliya sebaliknya dia pulang ke rumah kami di Kampung Sebatu, Pagoh di Johor kerana kami bersama-sama berusaha siang dan malam mencari Rozaliya di Batu Berendam.
"Ini kerana kelmarin, ibu Rozaliya ada berhubung dengan kami dan memberitahu anaknya mungkin dilarikan seorang pemuda dari Batu Berendam bernama Amir yang begitu menyukainya," jelasnya.
Dalam perbualan itu juga, Mohd. Nor dimaklumkan bahawa pemuda itu sudah lama menyukai Rozaliya dan pernah ke rumah keluarga bakal pengantin itu tidak lama dahulu.
"Difahamkan, Amir yang belajar di sebuah institut pengajian tinggi dan tinggal di Batu Berendam begitu tergila-gilakan Rozaliya.
"Jadi kami sekeluarga berpakat untuk mengesannya di merata tempat di sana tetapi malangnya sehingga kini tidak mendapat sebarang petunjuk," katanya.
Mohd. Nor juga menjelaskan, anak sulungnya itu tidak dapat dihubungi oleh keluarga pihak bakal pengantin perempuan berikutan di kawasan rumahnya tiada talian telefon dan bukan kerana cuba melarikan diri.
"Mohd. Hilmi tidak ke mana-mana tetapi ada bersama kami mencari Rozaliya. Disebabkan mencari tunangnya juga, dia tidak dapat bekerja hingga kami terpaksa menerangkan hal sebenar kepada majikannya," katanya.
Berikutan itu, kata Mohd. Nor, dia sekeluarga sanggup datang dari Johor ke IPD di sini untuk membuat laporan polis bagi menafikan spekulasi tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia boleh memesongkan fakta kes dan menyukarkan polis membuat siasatan.
No comments:
Post a Comment