Saturday, October 30, 2010
Kenu Terengganu Terpilih ke Sukan SEA
Atlet kenu Terengganu yang disenaraikan mewakili negara ke Sukan SEA 2011 muncul yang terbaik setelah berjaya meraih tiga emas, satu perak dan satu gangsa pada Kejohanan Kayak Jemputan Kebangsaan, di Perak.
Terengganu turut dinobatkan juara keseluruhan pada kejohanan itu, terdiri daripada atlet seluruh negeri yang disenaraikan mewakili negara ke sukan SEA 2011.
Daripada enam kategori dipertandingkan, Terengganu hanya gagal meraih pingat dalam satu kategori iaitu 200 meter berdua wanita.
Presiden Persatuan Kenu Negeri Terengganu, Zulkifli Abas berkata, termasuk tahun ini, pasukannya muncul juara sebanyak tiga kali berturut-turut.
“Saya berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan anak buah sehingga berjaya melepasi sasaran awal,” katanya.
Menurutnya, pada mulanya persatuan hanya menyasarkan tiga pingat emas daripada enam kategori dipertandingkan.
“Tanpa dijangka, pingat yang diraih melepasi sasaran apabila pingat perak dan gangsa turut diraih,” katanya.
Menurutnya, pingat diraih melalui kategori Perseorangan Lelaki, Perseorangan Wanita dan Berdua Wanita (emas), Berdua Lelaki (perak) dan Berdua Wanita (gangsa).
“Kesemua atlet berjaya mempamerkan aksi memberangsangkan meskipun satu kategori yang kami sertai gagal meraih pingat,” katanya.
Menurutnya, jika kecemerlangan terus dikekalkan, atlet ini bakal menyumbang pingat untuk negara pada sukan SEA nanti.
“Saya percaya, 10 atlet kami yang terpilih iaitu lima lelaki dan lima wanita mampu menyumbang pingat untuk kontinjen negara pada temasya Sukan SEA nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment