Juragan muda New Zealand Phil Robertson berjaya mempertahankan kejuaraan pada perlumbaan Match Racing Asia (AMRC) 2010, sekaligus layak ke Piala Monsun di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, bulan depan.
Roberston, juragan pasukan WAKA Racing menewaskan David Gilmour, anak kepada juara dunia empat kali Peter Gilmour, 2-0 pada perlumbaan akhir kelmarin.
Juragan berusia 22 tahun itu akan mengiringi pemenang Kejohanan Malaysia Match Racing (MMRC) Jeremy Khoo dari pasukan Khoo Racing Team-Evernew untuk bersaing dengan lapan juragan utama dunia dalam senarai Jelajah World Match Racing (WMRT) pada Piala Monsun dari 30 Nov hingga 5 Dis ini.
Selain dua juragan yang layak, pemenang Piala Sunseekeer Australia dan satu tiket 'wildcard' akan turut menyertai Piala Monsun, iaitu perlumbaan penutup musim Jelajah WMRT tahun ini.
"Pertandingan tahun ini lebih sukar untuk dimenangi kerana tahap kemahiran semua juragan telah meningkat dengan mendadak sekali," kata Robertson pada sidang akhbar selepas perlumbaan itu.
Mengenai Piala Monsun, katanya beliau yakin akan menampilkan persembahan baik menentang juragan elit dunia.
No comments:
Post a Comment