Sunday, October 31, 2010

Lebih 2,170 Murid Khatam Al-Quran Melalui e-Book Secara Serentak

Ragam sebahagian murid ketika selesai khatam al-Quran menggunakan e-Book di Stadium Tertutup Gong Badak, semalam.

Terengganu mencipta sejarah sekali lagi dalam Malaysia Book Of Records apabila seramai 2,170 murid Darjah Lima dan Darjah Enam berjaya khatam Al-Quran melalui e-Book secara serentak semalam.

Rekod dicipta berdasarkan jumlah murid teramai murid khatam Quran dengan menggunakan e-book.

Mereka adalah sebahagian 16,929 murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini berjaya khatam al-Quran secara serentak di kesemua tujuh daerah di negeri itu semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, berkata ini menggambarkan betapa e-Book sangat penting kerana boleh digunakan sebagai medium untuk mengaji Al-Quran selain bagi mengikuti pelajaran biasa dengan buku elektronik," kata beliau.

Majlis yang dirasmikan oleh beliau itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Halid Sintol, pegawai daripada Malaysia Book of Records, Zulhairi Md. Zin selain Exco kerajaan negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri akan menganjurkan majlis yang serupa di masa depan. "Kita akan buat majlis khatam Al-Quran pada masa depan serentak dengan kanak-kanak Tadika yang berjumlah 7,000 dan murid Sekolah Rendah kira-kira 17,000 yang menjadikan jumlah keseluruhan 25,000 orang," katanya.

Ahmad Said berkata, majlis berkenaan diadakan di tempat berasingan kerana Terengganu tidak mempunyai venue khusus bagi menampung jumlah mereka yang ramai.

Justeru, katanya, majlis melibatkan 6,001 murid dari Parlimen Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta kawasan Manir dan Batu Rakit itu diadakan di Stadium Tertutup manakala 2,400 murid dari Parlimen Besut pula diadakan di Masjid Kampung Raja, Besut dan 1,626 dari Parlimen Setiu di Masjid Bandar Permaisuri.

Menurut beliau, seramai 1,972 murid dari Parlimen Marang pula di Masjid Sultanah Nur Zahirah, Bandar Marang, 1,749 murid lagi dari Parlimen Hulu Terengganu di Masjid Sultan Mahmud, Parlimen Dungun (1,821) di Masjid Tengku Intan Zaharah dan Kemaman (1,264) di Masjid Sultan Ahmad.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan 30,000 kanak-kanak dari negeri ini yang terdiri daripada murid sekolah rendah dan tadika akan khatam al-Quran pada tahun depan.

No comments:

Post a Comment