Terusan buatan manusia sepanjang kira-kira 700 meter di Pulau Warisan di sini menjadi tumpuan apabila berlangsungnya Pesta Lumba Perahu Panjang Kuala Terengganu 2010 selama dua hari bermula semalam.
Perlumbaan itu menyaksikan 10 pasukan berentap dalam tiga kategori dan ia pertama kali diadakan di terusan itu selain bersebelahan lokasi kejohanan Piala Monsun di situ.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abd. Rahin Mohd. Said berkata, program tersebut mampu dijadikan tarikan pelancong terutama pada musim tengkujuh di samping Piala Monsun yang diadakan setiap hujung tahun.
Beliau memberitahu, 10 pasukan dari sekitar daerah ini menyertai perlumbaan sejauh 2.2 kilometer mengikut tiga kategori yang membuat satu pusingan mengelilingi Pulau Warisan dan tamat di terusan.
Menurutnya, program itu diadakan di Sungai Terengganu berhampiran muara dan Pulau Warisan itu sebagai simbolik serta satu manifestasi rakyat Terengganu suatu ketika dahulu yang mengayuh perahu mudik ke hulu untuk mencari kayu api.
"Pertandingan seperti ini juga adalah yang tertua diadakan di Terengganu sejak 1970-an dan sebelum ini pernah diadakan di Jeram Hilir, Jeram Manir, Tanjung Sabtu serta di tasik berdekatan tapak stadium di Gong Badak," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu ketika ditemui selepas majlis perasmian yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk James Dawot Damit di Pulau Warisan di sini hari ini.
Abd. Rahin memberitahu, johan pertandingan akan mewakili Terengganu ke peringkat antarabangsa di tempat yang sama Mac tahun depan yang dijangka disertai Thailand, Brunei, Indonesia, Vietnam serta Myanmar.
Dalam pada itu, tiga kategori pertandingan yang berlangsung hari ini dan esok terdiri daripada 20 pendayung ujian masa, 20 pendayung trek dan 10 pendayung trek.
Bagi 20 pendayung ujian masa, hadiah pertama menawarkan wang tunai RM3,000 diikuti RM2,500 (kedua), RM2,000 (ketiga), RM1,000 (keempat) dan RM800 (kelima).
Kategori 20 pendayung trek pula, tempat pertama bakal membawa pulang wang tunai RM4,000 disusuli RM3,000 (kedua), RM2,000 (ketiga), RM1,000 (keempat) dan RM800 (kelima).
Manakala bagi 10 pendayung trek, hadiah tempat pertama adalah RM2,000 diikuti RM1,50(kedua), RM1,000 (ketiga), RM700 (keempat) dan RM500 (kelima).
Kesemua 10 pasukan yang bertanding terdiri daripada Tanjung Sabtu, Kenu Terengganu, Penjara Marang, Jeram Manir, Banggol Peradong, UnisZA, Petai Bubus, Jeram Kuala Nerus, Buluh Gading dan Primula.
No comments:
Post a Comment