Tuesday, October 5, 2010

Pemantauan Ekosistem Marin Di Terengganu Tahun Depan

Pemantauan Alam Sekitar bagi Ekosistem Marin dan Pesisiran Pantai (EMMCE) akan dilakukan di Pulau Redang, Terengganu dan Sabah tahun depan.

Talisman Malaysia Limited kini bekerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dalam projek itu yang dijangka bernilai RM329,000.

Pemangku Pengurus Talisman Malaysia, Jim Tarlton berkata untuk cawangan Terengganu, ia akan juga membantu menyediakan sukarelawan dan pengangkutan kepada pasukan projek MNS dalam tempoh pemerhatian mammal laut.

Bercakap pada majlis menandatangani kerjasama itu di Kuala Trengganu Khamis lalu, beliau berkata: "Kami (syarikat) melihat kerjasama ini sebagai satu tanggungjawab dan percaya betapa perlu kami menjalankan bisnes secara yang beretika, serta bertanggungjawab dari segi sosial dan alam sekitar".

Naib Presiden MNS, Professor Jeffrey Phang berkata projek itu yang dicetuskan oleh MNS merupakan sebahagian dari usaha persatuan untuk mengesan perubahan alam sekitar marin dan pesisiran pantai.

"Hasil kajian ini akan disusun dalam sebuah laporan dan digunakan untuk penyelidikan seterusnya, serta untuk membantu pelbagai usaha pemuliharaan alam sekitar kerajaan yang sedang berjalan," kata Jeffrey.

Beliau berkata projek kerjasama MNS-Talisman bukan baru oleh kerana mereka pernah bekerjasama sebelum ini dalam projek-projek lain seperti projek memerhati burung dan penanaman pokok bakau di Taman Alam Kuala Selangor (KSNP).

No comments:

Post a Comment