Monday, October 4, 2010

Persiapan Menjelang Ketibaan Musim Tengkujuh

Gambar Fail - Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said melawat mangsa banjir di salah sebuah penempatan di Hulu Besut tahun lalu.

Tahun ini sebanyak 123 pusat pengkalan hadapan dan 334 pusat pemindahan yang dapat menampung hampir 50,000 mangsa banjir disediakan di seluruh negeri.

Angka itu menampakkan peningkatan ketara dari segi jumlah pusat pemindahan yang disediakan, berbanding hanya 286 sahaja pusat berkenaan yang disediakan tahun lepas.

Setiausaha Keselamatan Negeri Mohd Tarmizi Dan berkata Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Terengganu sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir menjelang ketibaan musim tengkujuh tahun ini.

Menurutnya, ia termasuk penyediaan pusat pengkalan hadapan, pusat pemindahan, bekalan makanan mangsa banjir dan sebagainya.

"Kami sudah buat ujian dari segi kesiapsiagaan agensi, dan juga segala aset yang ada," katanya baru-baru ini.

Mohd Tarmizi berkata berdasarkan pengalaman lepas, biasanya banjir akan berlaku di Terengganu pada bulan November hingga Disember setiap tahun.

Beliau berkata daerah Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut merupakan kawasan paling berisiko dan sering dilanda banjir di Terengganu setiap musim.

Katanya bekalan-bekalan makanan akan dihantar ke pengkalan hadapan di daerah-daerah berisiko dalam masa terdekat untuk digunakan bila berlaku banjir.

Mohd Tarmizi berkata bilik gerakan banjir negeri akan ditempatkan di pejabat MKN di bangunan Seri Amar di sini, dan ia akan beroperasi apabila banjir melanda negeri itu.

Sementara itu beliau berkata MKN akan menganjurkan satu seminar bulan depan bagi memberi kesedaran berkaitan banjir kepada orang ramai di Terengganu.

No comments:

Post a Comment