Monday, October 4, 2010

Piala Malaysia - Terengganu Menang, T-Team Tewas Kepada Selangor

Terengganu berjaya menewaskan Pahang pada perlawanan kumpulan B Piala Malaysia apabila skuad Tok Gajah gagal memanfaatkan peluang bermain di gelanggang sendiri di Stadium Darul Makmur.

Pahang dibenam oleh Terengganu 0-2 pada perlawanan itu bagaimanapun T-Team tewas kepada Selangor di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu malam semalam.

Terengganu membuka jaringan pada minit ke-17 menerusi sepakan percuma yang disempurnakan oleh Md Ashaari Shamsuddin.

Gol pembukaan itu kemudiannya terus membakar semangat pemain Terengganu yang melebarkan sayap enam minit kemudian hasil jaringan Abd Manaf Mamat (gambar kiri - tengah).

Sementara jara sebanyak 32 kali, Selangor muncul pasukan pertama yang layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan T-Team 2-1 pada perlawanan Kumpulan D.

Pasukan Red Giants menang semua perlawanan pusingan pertama dengan mengutip sembilan mata dan kini mengutip 12 mata daripada 4 perlawanan dengan baki dua lagi perlawanan sebelum peringkat suku akhir.

T-Team terlebih dahulu membolosi gawang lawan menerusi jaringan Mohd Haris Safwan Mohd Kamal pada minit ke-28 namun Mohd Amirulhadi Zainal menyamakan kedudukan pada min ke-42 sebelum Mohd Safee Mohd Sali menghasilkan gol kemenangan Selangor pada min ke-65.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, Perlis membelasah Felda United 5-1, untuk berada di belakang Selangor di kedudukan pasukan.

Dalam perlawanan kumpulan A di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, pertemuan di antara juara bertahan dan naib juara musim lepas, Negeri Sembilan dan Kelantan berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Shahurain Abu Samah membuka jaringan Negeri Sembilan pada min ke-24 sebelum Abd Halim Zainal menyempurnakan penalti pada min ke-60.

Kelantan memperolehi jaringan menerusi Zairul Fitree Ishak pada min ke-66 sebelum Akmal Rizal Rakhli menjaringkan gol kedua, dua minit kemudian.

Tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Rahman Zabul dilayangkan kad merah, setelah menerima kad kuning kedua, oleh pengadil Anuar Che Hussin pada minit ke-39.

Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hasan turut diarah meninggalkan bangku simpanan pemain pada minit ke-44 kerana memprotes keputusan pengadil.

Sementara Selangor PKNS menewaskan KL Plus 3-2 pada perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.Di Stadium Likas, Sabah menumpaskan Kuala Lumpur 3-2.

Gol pertama Sabah dijaringkan oleh Mohd Afif Amiruddin lima minit selepas perlawanan bermula, manakala gol kedua hasil tandukan Zainizam Marjan pada minit ke-20.

Gol kemenangan Sabah pula disumbangkan oleh Mohd Farid Ideris pada minit ke-90.

Pasukan pelawat mendapat jaringan menerusi Mohd Badrul Hisyam pada minit ke-74 dan gol kedua disumbangkan oleh Ahmad Azlan Zainal seminit kemudian.

Pada perlawanan Kumpulan C, Kedah dan Johor FC terikat tanpa sebarang jaringan pada perlawanan di Stadium Darulaman.

Perak pula mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

No comments:

Post a Comment