Sunday, October 10, 2010

Selebriti, Wakil Media Sertai Misi Cuci Pulau Redang

Selebriti dan wakil media bersama-sama membersihkan kawasan pantai Taman Laut Pulau Redang.

Rasa teruja selami hidupan marin, keindahan pulau sambil curah bakti bersih destinasi pelancongan.

Berapa ramaikah di antara kita yang menitikberatkan faktor kebersihan alam sekitar ketika berada di destinasi percutian?

Mungkin ramai yang mengakui kesedaran itu ada, tetapi ada juga yang tidak mengendahkannya langsung. Buktinya, masih ada membuang sampah sehingga mencacatkan pemandangan indah tanah tinggi yang menghijau, pantai, pulau dan lautan yang menjadi tarikan di negara kita ini.

Menyedari perlunya meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat dan juga pelancong, Berjaya Hotels & Resorts, baru-baru ini menganjurkan program Redang Island Clean Up Day di Berjaya Redang Resort, Pulau Redang, Terengganu.

Selain memperkukuh aktiviti pemeliharaan hidupan bawah laut, usaha ini juga bertujuan mendidik orang ramai mengenai kepentingan terumbu karang dalam ekosistem. tidak ketinggalan, penganjur mahu menyampaikan mesej mengenai perlunya keseimbangan yang harmoni antara alam dan aktiviti manusia.


Program Redang Clean Up Day yang membabitkan kumpulan media dan selebriti tempatan yang aktif sebagai penyelam ini diisi dengan aktiviti selam dan pembersihan dasar laut, pembersihan pantai, seminar pemeliharaan lautan daripada PADI (Persatuan Jurulatih Penyelam Profesional) dan juga bengkel fotografi anjuran Scuba Symphony.

No comments:

Post a Comment