Saturday, October 23, 2010

Rozaliya Kecewa, Hilmi Tawar Hati

Rozaliya membaca kisah mengenai dirinya di akhbar Kosmo! di Kemaman kelmarin.

Bakal pengantin yang ditemui semula selepas hilang pada 13 Oktober lalu, Rozaliya Mat Lazim mendakwa beliau melarikan diri ke Kuala Lumpur kerana tertekan dengan sikap tunangnya, Mohd. Helmi Mohd. Noor, yang tidak mengendahkannya.

Menurut beliau, pada pertemuan terakhirnya dengan Mohd. Helmi, 24, pada 13 Oktober lalu, dia dan tunangnya itu bertengkar di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke Kuantan untuk membeli barang keperluan perkahwinan.

“Hati saya sudah tawar kerana sikapnya (tunang) tidak tahu menghargai dan banyak kali tindakannya melukakan hati dan perasaan saya.

“Lebih baik berseorangan buat masa ini daripada sentiasa terluka akibat selalu berselisih faham dengan dia dan hati saya kini sudah tertutup untuk dia,” kata Rozaliya Mat Lazim, 20, gadis yang menghilang diri selama seminggu sebelum ditemui di Kuala Lumpur, kelmarin.

Menurut Rozaliya, 20, punca mereka bergaduh adalah kerana mereka tidak dapat memutuskan siapa yang harus membeli barangan keperluan perkahwinan.

Katanya, sebelum pergi ke Kuala Lumpur dia membeli barangan perkahwinan yang dijadual 11 November ini bersama Mohd Helmi di Kuantan, sebelum bekas tunangnya pulang ke pejabat di Cheneh Baru.

“Saya kemudian pergi ke sebuah bank berdekatan mengeluarkan wang untuk membuat bayaran tempahan set pelamin dan sedar diekori dua lelaki.

“Sebaik mengeluarkan wang kira-kira RM1,500, saya melalui jalan belakang untuk menunggu tunang, Mohd Helmi Mohd Nor di depan Pasar Besar Maidin dan ketika hendak memasukkan wang ke dalam beg tangan, tiba-tiba seorang daripada dua lelaki terbabit meragut wang itu."

Rozaliya mendakwa, walaupun dia menghantar SMS, Helmi langsung tidak mengambil berat tentang keselamatannya.

“Saya terkejut dengan kehilangan wang itu dan ketika fikiran berkecamuk saya terus berjalan sehingga sampai terminal bas. Saya kemudian membeli tiket ke Kuala Lumpur dan turun di Bukit Bintang,” katanya yang bersyukur kerana selamat pulang dan kembali ke pangkuan keluarganya.

Bapanya Mat Lazim Mat Ismail pada sidang akhbar di IPD Kuantan, malam kelmarin berkata soal perkahwinan kini terserah kepada Rozaliya.

“Jika dia (Rozaliya) setuju, perkahwinan mereka akan dibatalkan,” kata Mat Lazim, 52.

Menurut Mat Lazim, punca anak perempuannya melarikan diri dipercayai kerana tidak mahu meneruskan perkahwinan dengan tunangnya, Mohd Helmi Mohd Noor, 24, selepas hubungan mereka berdepan masalah kira-kira setahun lalu.

“Anak saya memaklumkan mereka sudah tidak sehaluan dan Mohd Helmi dikatakan mulai berubah sikap.

“Dia memberitahu tunangnya itu bertukar menjadi panas baran, suka mengongkong dan susah diajak ke mana-mana selepas mereka mengikat pertunangan, berbeza ketika mereka masih berkawan dulu,” katanya.

Terdahulu, Rozaliya ditemui kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, selepas dikatakan dua hari bekerja di sebuah kedai serbaneka 24 jam di kawasan berkenaan.

Difahamkan, penyelia kedai berkenaan memaklumkan perkara itu kepada polis selepas wajah dan berita kehilangan gadis terbabit terpampang dalam akhbar sebelum dia dibawa anggota polis ke IPD Kuantan malam tadi untuk diserahkan kepada keluarganya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rozaliya, 20, seorang jurujual di kedai menjual telefon milik bapa saudaranya di Bandar Cheneh Baru, Kemaman, Terengganu dilaporkan hilang sejak 13 Oktober lalu.

Sebelum kejadian itu, dia dikatakan keluar dari rumah keluarganya di Bandar Cheneh Baru dengan berpakaian blaus hitam dan seluar denim gelap bersama tunangnya, kira-kira jam 11 pagi untuk membeli persiapan perkahwinan mereka yang dijadualkan pada 12 November depan.

Sebelum ini akhbar melaporkan ibu Rozaliya, Sabariah Mansor, 42, sebagai berkata dia mengesyaki ada yang tidak kena dalam perhubungan anaknya dan Mohd Helmi.

Wanita itu mendakwa, Rozaliya pernah berhasrat memutuskan pertunangannya.

Semalam, akhbar melaporkan Mohd Helmi tampil di IPD Kuantan untuk menafikan andaian dia terbabit dalam kehilangan tunangnya itu.

Bapa Mohd Helmi, Mohd Noor Juah, 53, turut menafikan anaknya membawa lari dan menyembunyikan Rozaliya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berharap kedua-dua pihak mencari penyelesaian terbaik menyelesaikan masalah itu.

“Siasatan mendapati kejadian ini bebas unsur jenayah dan lebih kepada masalah peribadi atau keluarga,” katanya sambil memaklumkan polis turut mengambil keterangan Rozaliya selepas ini bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangannya.

Sementara itu, Mohd Helmi ketika ditemui selepas sidang media sama berkata, sebelum ini, dia begitu menyayangi Rozaliya, namun selepas kejadian itu, hatinya sudah tawar.

“Saya maafkan perbuatannya dan biarlah takdir menentukan nasib kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment