Monday, November 15, 2010

2,428 Anak Penyu Dilepas Serentak

Za'abar Mohd. Adib (depan, dua dari kanan) dan orang ramai melihat penyu yang dilepaskan dan dipasang satellite tracking di Pantai Rantau Abang, Terengganu, kelmarin.

Sejumlah 2,428 ekor anak penyu dilepaskan petang semalam di pantai Rantau Abang dekat sini oleh lebih 500 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat usia yang diundang untuk bersama-sama melakukannya.

Program anjuran Jabatan Perikanan melalui Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC) itu bertujuan menyemarakkan kesedaran umum terhadap pemuliharaan haiwan itu turut dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai pelepasan terbanyak secara serentak.

Upacara pelepasan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib dan turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Pelesenan dan Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan, Gulamsarwar Jan Mohammad.

Penyu yang dilepaskan itu berusia antara 1 hari dan enam tahun, kebanyakannya jenis Agar di samping beberapa ekor penyu Karah yang telah dieram dan ditetaskan di pusat penetasan Rantau Abang.

Kali ini, ia tidak dilakukan pada sebelah malam bagi mengelak tumpuan ikan-ikan pemangsa kerana masa pelepasan antara pukul 7 hingga 10 malam yang lazim dilakukan sebelum ini seolah-olah memberi 'tanda' tentang waktu untuk mendapatkan anak penyu sebagai habuan.

Ketua TUMEC, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir berkata, pada tahun ini kira-kira 200,000ekor anak penyu telah dilepaskan ke laut dalam usaha berterusan mengembalikan kegemilangan Terengganu dan Rantau Abang khususnya sebagai destinasi pendaratan penyu yang utama.

Beliau menarik perhatian, pendaratan penyu di pantai negeri ini sepanjang tahun mencatatkan jumlah tertinggi dalam tempoh sedekad.

''Sebagai contoh, di pantai Geliga Kemaman, jumlah sarang sekitar 300 hingga 600 dari tahun 2000 hingga tahun lalu, namun, ia telah meningkatkan dengan drastik tahun ini kepada 1,391

''Ini menjadikan pantai Geliga mencatatkan bilangan pendaratan penyu yang kedua tertinggi selepas Sabah. Di Rantau Abang pula, daripada tujuh sarang pada 2005, ia meningkatkan kepada 50 tahun ini," ujarnya.

Sementara itu, Zaaba memberitahu, dalam tempoh satu dekad yang lalu, kira-kira dua juta anak penyu telah ditetaskan dan dilepas di perairan negeri ini.

Namun, katanya, usaha pemuliharaan yang bermula sejak awal 1960-an berdepan dengan kesukaran kerana penyu menghadapi begitu banyak ancaman di laut termasuk ikan pemangsa dan juga manusia.

No comments:

Post a Comment