Friday, November 5, 2010

Banjir di Terengganu Dijangka Lebih Besar

Kerajaan negeri sudah bersiap sedia menggerakkan segala jentera bagi menghadapi kemungkinan banjir lebih besar melanda negeri ini tahun ini.

Difahamkan, satu mesyuarat Penyelarasan Tindakan Menghadapi Banjir tahun ini dijangka akan diadakan di Bilik Gerakan Negeri Ahad ini (7 November) yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar sendiri.

Kelmarin, Datuk Seri Ahmad Said berkata, langkah itu diambil berikutan ramalan Jabatan Meteorologi bahawa negeri ini dijangka menerima taburan hujan 40 peratus melebihi tahun sebelumnya.

Sebagai menghadapi banjir, beliau menyeru kepada seluruh rakyat di negeri ini terutama yang tinggal di tepi sungai dan kawasan berisiko dinaiki air supaya mengambil langkah berwaspada bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau meminta rakyat agar sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa termasuk arahan untuk berpindah sekiranya keadaan mendesak.

“Sekarang musim hujan dan kita diberitahu Jabatan Meteorologi bahawa kemungkinan tahun ini berlaku banjir besar di Terengganu,” katanya kelmarin (Rabu).'

Oleh kerana Terenggnu dijangka mengalami banjir lebih teruk tahun ini, orang ramai dinasihatkan supaya menyimpan dokumen penting di tempat selamat.

Ketika memberi nasihat itu, Ahmad Said berkata orang ramai hendaklah sentiasa mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa apabila diarahkan berpindah bila berlaku banjir.

Ahmad Said mengingatkan orang ramai hendaklah memastikan anak-anak mereka tidak bermain air yang boleh membahayakan keselamatan mereka.

No comments:

Post a Comment