Friday, November 5, 2010

Sasar 5 PBT capai MS ISO 9001;2008

Mazlan Ngah menyerahkan sijil MS ISO 9001;2008 kepada Ibrahim Mohamad pada majlis penyampaian sijil pengiktirafan di Pejabat Daerah Marang, semalam.

Kerajaan negeri yakin sasaran lima pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mendapat pengiktirafan MS ISO 9001;2008 pada tahun depan boleh dicapai jika komitmen penuh diberikan oleh semua warga PBT.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah mahu soal itu diberi penekanan yang boleh dijadikan tanda aras keutuhan pengurusan serta penyampaian berkualiti kepada pelanggannya yang merupakan teras terpenting dalam sesebuah organisasi.

Katanya, sasaran tersebut dapat dicapai sekiranya mendapat kerjasama seluruh kakitangan dengan melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagaimana yang diamanahkan.

"Saya harap dengan sasaran itu dapat meningkatkan semangat semua PBT yang terlibat untuk bekerja dengan lebih keras apabila melihat 'rakan-rakan' mereka yang lain telah memperolehi pensijilan ini.

"Jika mereka bekerja keras memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduknya saya yakin sasaran itu dapat dicapai," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan MS ISO 9001;2008 di Pejabat Daerah Marang di semalam.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Daerah Marang (MDM), Ibrahim Mohamad.

Pada majlis tersebut, Mazlan turut melancarkan Pelaksanaan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S selain turut menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang kepada seramai 14 orang kakitangan MDM.

MDM muncul sebagai PBT kedua selepas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di negeri itu yang mendapat pengiktirafan sijil MS ISO 9001:2008.

Sementara itu, Ibrahim berkata, pensijilan itu diberikan bagi pelaksanaan kualiti merangkumi tiga aspek pengurusan dan perkhidmatan organisasi itu.

Ia melibatkan bahagian perkhidmatan bandar dan perlesenan, penilaian dan pengurusan harta serta perancangan dan pembangunan kejuruteraan.

Katanya, kejayaan itu hasil kerjasama antara pihak pengurusan atasan dengan semua warga kerja MDM yang sentiasa berusaha meningkatkan prestasi kerja masing-masing.

"Saya berharap pengiktirafan ini dapat memberikan semangat baru kepada semua kakitangan MDM dalam menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin, selain memberi contoh terbaik kepada jabatan lain," jelasnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment