Saturday, November 27, 2010

BSN Serah Lima Van Jenazah Kepada Masjid-Masjid Terpilih

Masjid As Syakirin, Kg Kuala Ping, Kuala Berang, Terengganu antara yang menerima van jenazah daripada Bank Simpanan Nasional (BSN).

Bank itu kelmarin menyerahkan lima buah van jenazah kepada masjid-masjid terpilih sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya.

Masjid-masjid lain yang terpilih adalah Masjid Daerah Gunung, Bachok, Kelantan, Masjid Ubudiyah, Kg Asam Jawa, Baling, Kedah, Masjid As Syakirin, Bachang, Melaka dan Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Taman Guar Perahu, Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Eksekutif BSN (Perbankan Konsumer & Pembangunan Perniagaan) Yunos Abd Ghani berkata tanggungjawab sosial ini dijalankan melalui wang zakat perniagaan Skim Perbankan Islam (SPI) yang berjumlah RM4.657 juta bagi tahun kewangan 2009.

"Bagi memenuhi tuntutan syarak, BSN juga telah mengeluarkan wang zakat ke atas perniagaan SPI yang diagihkan kepada mereka yang layak setiap tahun," katanya.

Menurut Yunos, dalam memastikan pelanggan-pelanggan mendapat akses perbankan dan kewangan, BSN juga menyediakan pelbagai platform dan pilihan bagi kemudahan dan keselesaan mereka.

"Selaras dengan matlamat ini, pelbagai produk dan perkhidmatan Perbankan Islam BSN yang berlandaskan Syariah telah ditawarkan, katanya sempena majlis penyerahan van jenazah di Wisma BSN kelmarin.

Selain dari pemberian van jenazah kepada masjid-masjid terpilih, BSN telah mengagihkan sebahagian wang zakatnya kepada Pusat Pungutan Zakat setiap negeri dan penerima-penerima zakat yang dikenal pasti di seluruh negara.

Agihan wang zakat ini diberikan bersesuaian dengan keperluan semasa penerima zakat seperti yuran sekolah dan keperluan asas rumah-rumah anak yatim, sekolah-sekolah agama dan Tahfiz, rumah penjagaan orang kurang upaya, serta warga emas dan lain-lain.

Katanya, sebagai sebuah institusi kewangan yang prihatin dan mengutamakan akses perbankan dan kewangan, BSN akan terus komited untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan-pelanggannya dan orang ramai.

BSN mempunyai lebih tujuh juta pelanggan di seluruh negara dengan simpanan berjumlah RM10.8 billion.

No comments:

Post a Comment