Wednesday, November 24, 2010

Dr Mahathir - Orang Dah Tak Percaya Anwar

Dr Mahathir diapit Ahmad Said dan Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Ramli Shahul Hameed pada sidang media semalam.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihak luar semakin tidak percaya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dengan itu kerajaan tidak perlu bimbang dan menghalangnya daripada pergi ke luar negara bagi mengelak ketua pembangkang itu daripada terus menghina Malaysia.

Lagipun, kata bekas perdana menteri, jika Anwar dihalang ke luar negara, ini akan menimbulkan kemarahan terhadap kerajaan, dan kerajaan akan berdepan dengan pelbagai tuduhan.

"Kita tak patut halang dia keluar negara. Saya tak fikir kita patut takut kepada dia. Kita buat macam itu, orang lagi jadi marah kepada kita, benci kepada kerajaan. Nanti mulalah orang cakap kerajaan itu dan ini.

"Tak apalah, saya ingat orang lain pun tak percaya kepada dia dah, siapa nak percaya. Kalau saya, saya tidak peduli. Bukan orang itu yang nak mengundi, yang mengundi orang di sini," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas mengadakan lawatan ke Eastern Pacific Industrial Corporation (Epic) Berhad di Kemaman Supply Base kawasan Perindustrian Teluk Kalong di Kemaman, semalam.

Dr Mahathir sebelum itu menyampaikan syarahan perdana bertajuk "Cabaran Umat Islam Pada Masa Kini" di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman anjuran Institut Pembangunan Terengganu dengan kerjasama Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu yang dihadiri oleh hampir 5,000 orang kakitangan awam dan masyarakat sekitar.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Norliza Mahmud dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat semalam, beberapa penyokong kerajaan mencadangkan agar Anwar tidak dibenarkan ke luar negara bagi mengelak beliau daripada terus memburukkan Malaysia.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata semakin kerap Anwar keluar negara untuk memburukkan negara sendiri, secara sendirinya Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu mendapat imej yang negatif.

No comments:

Post a Comment