Wednesday, November 24, 2010

Tuanku Mizan rasmi Pusat Perubatan iHEAL

Tuanku Mizan Zainal Abidin mendengar penerangan daripada Pembantu Makmal, Tan Li Chu ketika melawat Pusat Perubatan iHeal di Megamall City, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Liow Tiong Lai (kanan).

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin kelmarin berkenan merasmikan Pusat Perubatan iHEAL di Kuala Lumpur.

Pusat perubatan yang terletak di Megamall City itu memberikan persekitaran privasi dan eksklusif dengan tumpuan utama menyediakan pusat penjagaan harian.
Selain itu, ia menawarkan perkhidmatan kesihatan berbentuk pencegahan awal penyakit, terapi, rawatan genetik dan teknik pembedahan minimum invasif.

Ia merupakan projek usahasama Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWT) yang menguasai 60 peratus kepentingan saham.

Ia dibangunkan bersama iHeal Medical Centre Sdn. Bhd., Biomedical Technologies Sdn. Bhd. dan pengasas serta Pengarah Perubatannya, Dr. David Khoo Sin Keat (gmbar kiri) dengan modal RM28 juta. Pusat perubatan itu memulakan operasi sejak 23 Jun lalu.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Pada majlis tersebut, pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara iHeal Medical Centre dengan Pusat Perubatan Prince Court bagi perkongsian perkhidmatan kesihatan dan Asiatic Centre for Genome Technology Sdn. Bhd. (ACGT) bagi tujuan perkongsian teknologi penyelidikan dan pembangunan turut diadakan.

Pada sidang media selepas itu, Dr. Sin Keat berkata, pihaknya menyasarkan perolehan sebanyak RM10 juta dan merancang memperluaskan rangkaian pusat perubatan tersebut termasuk ke luar negara menjelang tahun depan.

No comments:

Post a Comment