Sunday, November 7, 2010
Kelibat Norshahrul jadi tumpuan
Selaku pemain paling bernilai dan penyerang terbaik Liga Malaysia musim ini, kelibat Norshahrul Idlan Talaha (gambar kanan) di Sukan Asia Guangzhou 2010 pasti menjadi tumpuan peminat yang mahu menilai sejauh mana keupayaannya membantu skuad bola sepak negara di pentas antarabangsa.
Apalagi, selaku penyerang utama sudah tentu disandarkan harapan tinggi di bahunya untuk merobek gawang lawan, sekali gus membantu skuad kendalian K Rajagobal melepasi halangan peringkat kumpulan yang turut disertai tuan rumah China, Jepun dan Kyrgyzstan.
“Saya akui gembira dengan anugerah itu selain ia memberi sumber inspirasi dalam kerjaya saya. Pada masa sama, status itu juga satu beban berat kerana sudah tentu ramai yang ingin melihat saya membantu skuad negara, terutama dalam berdepan saingan mencabar di Sukan Asia ini.
“Jadi, saya akan cuba memberi yang terbaik dan seperti rakan lain, kami akan cuba melepasi halangan peringkat kumpulan walaupun ia cukup sukar,” katanya yang membantu Kelantan menamatkan kemarau 89 tahun menjulang Piala Malaysia dengan menewaskan Negeri Sembilan 2-1, baru-baru ini.
Pemain kelahiran Besut, Terengganu itu adalah antara tiga senior yang disenaraikan Rajagobal dalam skuad Bawah 23 negara, bersama-sama pertahanan, Norhafiz Zamani Misbah dan pemain sayap, S Kunalan.
Norshahrul pernah membuktikan kemampuan apabila menjadi antara nadi kepada kebangkitan skuad bola sepak negara menamatkan kemarau 20 tahun memenangi emas di Sukan SEA Laos tahun lalu.
“Selaku penyerang, sudah tentu saat paling gembira adalah menjaringkan gol untuk pasukan. Jadi, saya akan cuba menjaringkan gol nanti walaupun berdepan benteng kebal lawan,” katanya yang dijangka digandingkan dengan Mohd Fakri Shaarani.
No comments:
Post a Comment