Sunday, November 7, 2010

Kerajaan Negeri Sedia Bantu PBSNT Wujud Kompleks Bolasepak

Kerajaan negeri sedia membantu Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mewujudkan kompleks bola sepak di negeri itu sebagai langkah jangka panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat berkata untuk itu PBSNT perlu mencari tempat dan membuat permohonan kepada kerajaan.

Rozi berkata sudah sampai masanya PBSNT memiliki sebuah kompleks bolasepak memandangkan sukan bolasepak kini suatu perniagaan, katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kongres Tahunan 2010-2014 PBSNT semalam.

Beliau berkata rancangan PBSNT itu merupakan satu strategi yang tepat dalam usaha PBSNT melahirkan pemain bertaraf antarabangsa pada masa depan.

Dalam hal ini, Rozi berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan dan perlu berbincang lebih mendalam dengan pihak atasan.

Kompleks yang dijangka menelan belanja kira-kira RM50 juta akan dilengkapi pelbagai prasarana sukan antaranya dua padang bola sepak, asrama, bangunan pentadbiran selain gelanggang tenis sebagai aktiviti sampingan.

"Saya sangat setuju dengan cadangan penubuhan kompleks ini. Saya akan bincang perkara ini dengan peringkat atasan kerajaan termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

"Buat masa ini kita serahkan kepada kepimpinan PBSNT untuk mencari dan mengenal pasti terlebih dulu kawasan yang sesuai untuk membina kompleks tersebut," ujar Rozi.

Yang Dipertua PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, pembinaan kompleks itu sebagai perancangan jangka panjang Terengganu untuk melahirkan lebih ramai pemain bola sepak yang berbakat demi masa depan sukan bola sepak negeri itu.

Bagi tujuan tersebut, jelas beliau, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri, termasuk mengenal pasti lokasi sesuai yang membabitkan keluasan kira-kira lapan hektar.

"Kita akan bincang dengan pihak kerajaan mengenai perkara ini, termasuk mengenal pasti lokasi sesuai dan jika berjalan lancar, ia akan menjadi kilang melahirkan ramai bintang bola sepak, selain menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan," katanya semalam.

Beliau memberitahu, kos pembinaannya akan ditanggung oleh PBSNT, selain mendapat sokongan menerusi dana kerajaan serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

No comments:

Post a Comment