Friday, November 5, 2010

Majlis Penajaan Untuk Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan

Penaja bergambar kenangan dengan Menteri Besar pada majlis penyerahan penajaan di Seri Iman malam kelmarin.

Tiga belas syarikat termasuk Sime Darby Bhd tampil menghulurkan sumbangan penajaan Kejohanan Kuda Lasak, Piala Sultan 2010 yang akan berlangsung di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu selama tiga hari, bermula hari ini.

Sime Darby Bhd sebagai penaja utama menyumbangkan 150 kenderaan bagi kegunaan petugas sepanjang kejohanan itu nanti manakala Kumpulan Liziz Sdn Bhd yang juga penaja utama menyampaikan wang tunai RM50,000.

Yang lain ialah AHT Norlan United & Carriage Sdn Bhd (RM25,000); Ketengah Holding Sdn Bhd (RM10,000) dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (RM9,000). Syarikat pengeluar minuman jus roselle, A I Agro Marketing di Lembah Bidong, pula memberi sumbangan minuman bernilai RM12,000; Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd membekalkan air minuman (RM6,000) dan Kementerian Pelancongan Malaysia cawangan Terengganu memberi sumbangan produk barangan bernilai RM10,000.

Sumbangan itu disampaikan dalam majlis khas diadakan di kediaman Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, malam kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu adalah Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka turut mengambil bahagian bersama 100 peserta dalam dan luar negara.

Pasukan lain ialah dari Amerika Syarikat, Perancis, Singapura, Australia, Uruguay, Jepun, India, Qatar, Bahrain, Indonesia dan Thailand.

Kejohanan anjuran bersama kerajaan negeri Terengganu dan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) akan disertai 90 pelumba dari 15 buah negara dengan hadiah keseluruhan bernilai RM126,000.

Kali ini, hanya satu kategori dipertandingkan iaitu acara 120km dan hadiah utama bakal membawa pulang RM30,000 untuk tempat pertama, kedua (RM20,000), ketiga (RM15,00), keempat (RM10,000) dan kelima (RM8,000).

Bagi memeriahkan lagi suasana dan menarik kunjungan pelbagai lapisan masyarakat di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu Lembah Bidong Setiu, Karnival Kuda Bersongket akan diadakan.

Pavilion-pavilion yang dibina khas disediakan dengan pelbagai acara seperti jualan produk-produk terengganu, masakan tempatan dan antarabangsa, permainan tradisional serta panggung terbuka menayangkan filem-filem menarik.

Di samping pertunjukan dan permainan berkuda daripada Kelab Pony Malaysia, taman permainan belon gergasi dan persembahan artis-artis terkemuka negara turut diadakan.

No comments:

Post a Comment