Kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di Kuala Terengganu dijangka siap tidak lama lagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerja-kerja pembersihan tersebut kini berada di peringkat akhir dan ia dijangka disiapkan lebih awal daripada jadual.
Katanya, mengikut kontrak yang dikeluarkan, kerja-kerja pembersihan tersebut sepatutnya berakhir pada Disember ini.
"Saya akan pergi melihat kerja-kerja pembersihan tersebut dalam tempoh terdekat ini dan menilai situasinya," katanya selepas Majlis Khatam al-Quran Pelajar-Pelajar KAFA Terengganu 2010 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Beliau berkata, selepas kerja-kerja pembersihan siap dilakukan, struktur utama stadium berkenaan akan diperiksa bagi memastikan ia tidak rosak akibat runtuhan bumbung berkenaan.
Tambahnya, selepas tidak berlaku kerosakan pada struktur, rundingan pembinaan bumbung baru akan dilakukan.
"Kita akan lihat terlebih dahulu kalau tidak ada kerosakan pada struktur utama dan kemudian kita akan runding buat bumbung baru," jelasnya.
Beliau memberitahu, pihaknya masih belum memutuskan mengenai reka bentuk bumbung baru serta kos pembinaannya.
Kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan bumbung stadium berkenaan telah dilakukan oleh syarikat Azimat Berkat Sdn. Bhd. dari Setiu sejak hujung Julai lalu.
Dianggarkan 3,000 tan sisa runtuhan (besi) itu akan diangkut keluar dari tapak stadium itu untuk dihantar ke stor penyimpanan di Kuala Lumpur.
Runtuhan berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi, 2 Jun tahun lalu melibatkan bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.
No comments:
Post a Comment